KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mencadangkan kerajaan memberi moratorium automatik sekurang-kurangnya enam bulan kepada pengusaha perniagaan yang terjejas dengan Covid-19.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taibu turut merayu agar pemotongan kadar levi 25 peratus untuk Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diteruskan sehingga 31 Disember ini.
“Kita cadangkan kerajaan memberi moratorium automatik sekurang-kurangnya enam bulan kepada pengusaha terjejas termasuk pemilik restoran, gerai serta peniaga kenderaan saji agar dapat terus bertahan dalam tempoh mencabar ini.
“Seperti pernah disuarakan sebelum ini, Presma juga minta kerajaan pertimbangkan subsidi sewa kepada pemilik bangunan, sekali gus membantu pengusaha restoran yang menyewa premis untuk perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Jawahar Ali Taibu juga menarik nafas lega dengan pengumuman kerajaan melibatkan sektor restoran dan makanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bermula esok.
Menurutnya, dengan kebenaran beroperasi yang diberikan, Presma menerusi lebih 4,200 ahli di seluruh negara bertekad untuk membantu kerajaan melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, keseluruhan lebih 12,500 restoran ahli Presma di seluruh negara akan memastikan pematuhan SOP seperti mana sebelum ini dalam usaha membantu pihak berwajib mengekang penularan jangkitan secara optimum.
Jawahar Ali turut meminta semua pihak mematuhi SOP dikeluarkan supaya dalam tempoh PKP penuh ini, tiada sebarang pelanggaran peraturan akan menjejaskan usaha mengekang Covid-19. – MalaysiaGazette