KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 kluster baharu Covid-19 direkodkan hari ini dan menjadi jumlah tertinggi di Malaysia setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan 13 kluster tempat kerja, lapan berkaitan komuniti, tiga kluster keagamaan, dua sektor pendidikan dan baki satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi.
Kluster-kluster itu dikesan di Selangor, Sarawak, Kelantan, Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu.
Kata Dr. Noor Hisham, mengikut pecahan negeri kluster yang paling banyak dikenal pasti adalah di Kelantan iaitu sebanyak enam kluster.
“Keenam-enam ini adalah kluster yang melibatkan tempat kerja, komuniti dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rekod kedua tertinggi adalah Johor dengan lima kluster baharu diikuti Selangor dan Perak yang masing-masing mencatatkan empat kluster.
“Dua di Pulau Pinang, dua kluster di Kuala Lumpur dan Sarawak manakala satu di Terengganu,” katanya.- MalaysiaGazette