KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh mulai hari ini namun pelaksanaan PKP Diperketatkan perlu dikuatkuasakan bagi lokaliti yang merekodkan catatan kes positif tinggi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada laporan Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak enam lokaliti iaitu dua di Sarawak dan empat di Sabah diletakkan bawah PKPD selama dua minggu mulai 3 Jun ini.
Katanya, lokaliti itu ialah Kampung Bunut dan Rumah Panjang Undum Anak Anchih, Sungai Duan di Sarawak, manakala Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau di Kota Belud serta Kampung Simpangan di Tuaran, Sabah.
Menurut beliau, dua kampung di Mukah, Sarawak itu diletakkan dalam PKPD berikutan berlaku penularan jangkitan dalam komuniti tempatan.
“Sebanyak 29 kes positif telah direkodkan hasil saringan ke atas 166 orang di Kampung Bunut, manakala di Rumah Panjang Undum Anak Anchih telah merekodkan 12 kes positif hasil 56 saringan, dengan kadar positiviti 21.43 peratus.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di dua lokaliti ini sehingga 16 Jun ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Bagi empat lokaliti di Sabah, kata beliau, KKM telah mengesahkan terdapat peningkatan kes yang ketara di tiga lokaliti ini apabila sebanyak lapan kes positif telah direkodkan di Taman Nikmat, tujuh kes di Kampung Pirasan dan lapan kes di Kampung Dundau.
Ismail Sabri juga berkata, berlaku peningkatan kes yang ketara di Kampung Simpangan, Tuaran apabila lapan kes positif direkodkan hasil daripada 10 ujian saringan yang dijalankan.
“Justeru, kerajaan akan melaksanakan PKPD di kampung ini dari 3 hingga 16 Jun ini,” jelasnya.
Ismail Sabri berkata, PKPD bagi lokaliti Rumah Panjang Wun Anak Ering, Tanjung Manis, Mukah Sarawak yang dijadualkan tamat esok terpaksa dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 16 Jun ini.
Ini berikutan hasil ujian saringan oleh KMM ke 172 orang, 29 daripadanya disahkan positif Covid-19.
“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan serta kes baharu direkodkan dalam kalangan penghuni di Rumah Panjang Wun anak Ering.
“Bagaimanapun, terdapat penurunan baki kes aktif yang melibatkan SK Bakerkong, di Bakerkong, Tanjung Manis dan kluster adalah terkawal,” katanya.
Sementara itu, PKPD Lorong 2, Kampung Kongsi 8, Tawau ditamatkan tengah malam ini selepas KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan. – MalaysiaGazette