KUALA LUMPUR – Masih ada yang degil.
Walaupun pihak berkuasa sudah sebelum ini sudah mengenakan tindakan kepada mereka yang melakukan kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun masih ada yang masih melanggarnya.
Namun, dalam operasi pematuhan harian yang diketuai polis di seluruh negara mendapati, kesalahan tidak memakai pelitup muka masih tinggi sekali gus menunjukkan ramai belum ada kesedaran dalam soal SOP.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam operasi semalam seramai 175 individu terpaksa ditahan kerana kesalahan itu, diikuti gagal merekodkan butiran diri atau mendaftar masuk premis seramai 143 orang.
Katanya, daripada kes itu, menjadikan 684 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP termasuk rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (83 orang), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (79), tiada penjarakan fizikal (77), aktiviti pusat hiburan (sembilan) dan lain-lain kesalahan (118 individu).
“Daripada 684 individu itu, seramai 630 dikenakan kompaun, 45 direman manakala sembilan lagi dijamin,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai Operasi Benteng kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, secara kumulatifnya sejak 1 Januari lalu seramai 1,339 tangkapan telah dibuat dengan 601 kes rampasan direkodkan, selain 229 kes pengusiran.
Dalam tempoh itu juga, seramai 3,523 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 211 tekong turut ditahan dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM219.4 juta.
Kata beliau, Op Benteng melibatkan polis Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 623 Sekatan Jalan Raya (SJR). – MalaysiaGazette