PTPTN discount National Higher Education Fund Corporation
PTPTN

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan kaunter Pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di negeri dan cawangan seluruh negara ditutup selama dua minggu bermula hari ini.

Penutupan itu selaras dengan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi mulai 1 hingga 14 Jun depan seperti diumumkan kerajaan.

“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa prihatin dan peka serta mengambil berat terhadap keperluan pelanggan.

“Bagi meneruskan perkhidmatan dan juga memudahkan urusan semua pelanggan, PTPTN telah menyediakan kemudahan perkhidmatan yang lebih selamat dan cepat iaitu perkhidmatan secara dalam talian (online) melalui portal rasmi PTPTN di
www.ptptn.gov.my bagi urusan permohonan pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PTPTN turut memberi kelonggaran dan pemanjangan tempoh bagi penghantaran Dokumen Tawaran dan Perjanjian Pinjaman PTPTN. Dokumen bagi kelulusan baharu bertarikh 7 Mei 2021 dilanjutkan tempoh penghantaran sehingga 28 Jun ini.

Manakala bagi peminjam yang telah diluluskan pertukaran Ujrah mulai Mei 2021 dan penstrukturan semula pinjaman bulan Jun 2021 boleh membuat penghantaran dokumen selewat-lewatnya pada 30 Jun 2021.

Semua dokumen tersebut boleh dihantar melalui pos ke Ibu Pejabat PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur.

Pelanggan PTPTN juga boleh menghubungi PTPTN melalui Perkhidmatan Live Chat PTPTN yang beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Perkhidmatan Live Chat PTPTN merupakan saluran alternatif yang
boleh diakses oleh para pelanggan dengan mudah dan cepat. Pelanggan hanya perlu melayari Portal Rasmi PTPTN dan klik pada ikon Live Chat.

Kemudahan interaksi itu membolehkan pelanggan berhubung terus secara live dengan pegawai PTPTN yang sentiasa bersedia untuk memberikan maklumbalas. Pelanggan juga tidak perlu
mempunyai sebarang akaun media baharu untuk menggunakan kemudahan yang sama.

Selain kemudahan Live Chat, pelanggan juga boleh menggunakan saluran eAduan melalui Portal Rasmi PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my) atau Media Sosial
Rasmi PTPTN (Facebook/Twitter/Instagram) atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN di seluruh negara melalui nombor telefon yang dipaparkan di Portal Rasmi PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn). Talian Careline PTPTN di 03-2193 3000 juga terus kekal beroperasi pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Pelaksanaan kemudahan perkhidmatan dalam talian dan kelonggaran yang diberikan adalah bukti komitmen PTPTN untuk memastikan urusan pelanggan tidak terjejas walaupun kaunter PTPTN di tutup di seluruh negara.

Pelanggan tidak perlu berurusan secara bersemuka serta dapat menjimatkan masa, mudah dan selamat.

PTPTN juga akan sentiasa berusaha bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik untuk para pelanggan. Sebarang maklumat terkini boleh diperoleh
melalui Portal Rasmi PTPTN.- MalaysiaGazette