Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan memberi kelonggaran kepada pemilik Lesen Memandu (LM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Vokasional (PSV/GDL) yang tamat tempoh pada mana-mana tarikh antara 1 Jun sehingga 31 Julai 2021 untuk memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 60 hari iaitu bermula 1 Ogos- 30 September 2021.

Seperti kelonggaran sebelum ini, pemilik LKM yang tamat tempoh hendaklah memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan insurans (e-cover note) sekiranya diminta pihak berkuasa.

Kaunter bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan adalah ditutup sementara, namun orang ramai boleh berurusan secara dalam talian menerusi e-auto atau MyEG.

Kiosk JPJ dibuka dari jam 8.30 pagi – 4 petang (kiosk dalam premis JPJ) dan 6.00 pagi – 8.00 malam (kiosk di luar premis) mengikut prosedur
operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Manakala Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak pula memberi pengecualian daripada memperbaharui lesen dan permit seperti
berikut:
a) Lesen Pengendali
b) Permit Kenderaan Perdagangan
c) Lesen Kenderaan Pelancongan
d) Kad Pemandu

Kesemua lesen dan permit yang dinyatakan di atas dibenarkan beroperasi walaupun telah tamat tempoh dengan syarat mempunyai perlindungan insurans yang sah.

Sementara itu, tempoh sah laku kelulusan pemeriksaan PUSPAKOM dilanjutkan mengikut baki selepas tamat tempoh PKP 3.0

Dalam masa sama, MOT menggalakkan orang ramai supaya dapat berurusan dengan mana-mana agensi secara dalam talian untuk perkhidmatan yang berkaitan.

Dapatkan maklumat terkini dan sahih dengan melayari laman web serta laman media sosial rasmi agensi-agensi yang berkaitan untuk maklumat lebih lanjut. – MalaysiaGazette