GEORGE TOWN – Polis Daerah Timur Laut mengingatkan majikan dalam daerah itu untuk terus mematuhi arahan kebenaran kehadiran kakitangan ke tempat kerja sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang bermula hari ini hingga 14 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan lebih ketat di pejabat awam dan swasta bagi memastikan majikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Soffian memeriksa dokumen salah seorang pengguna jalan raya yang melalui SJR di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini hari ini.

Jelasnya, tindakan mengikut undang-undang akan diambil terhadap mana-mana majikan yang didapati gagal mematuhi SOP tersebut.

“Menerusi operasi baru-baru ini, kita mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 terhadap sebuah syarikat swasta yang didapati mempunyai kehadiran kakitangan sehingga 100 peratus.

“Justeru orang awam yang mempunyai maklumat digesa supaya segera membuat laporan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang melanggar arahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan operasi sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang di sini hari ini.

Pihak polis memeriksa dokumen rentas daerah serta surat majikan seorang penunggang motosikal yang melalui SJR.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, terdapat pengguna jalan raya yang diberi kelonggaran bagi mendapatkan dokumen berkenaan daripada majikan selewat-lewatnya hari ini.

“Kita lihat juga kepentingan urusan mereka sehingga mahu melepasi SJR itu atau terbabit dalam sektor ekonomi dan perkhidmatan penting (essential economic and service sector) seperti yang disenaraikan oleh MKN.

“Kita akan menambah masing-masing dua SJR secara ‘mobile’ pada waktu siang dan malam selain menambah pasukan bagi melakukan pemeriksaan pematuhan,” ujar Soffian.

Dalam perkembangan sama, Soffian berkata, sebanyak 35 pasukan pemantau termasuk ‘task force’ bagi daerah Timur Laut ditugaskan di pasaraya, pasar awam, pejabat swasta dan kerajaan dan tapak pembinaan.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara menetapkan jumlah kehadiran kakitangan bagi sektor swasta adalah 60 peratus manakala 20 peratus bagi sektor awam pada satu-satu masa. – MalaysiaGazette