Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 10 individu kerana disyaki terlibat dalam penyebaran berita tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha mengekang Covid-19.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan menyusul terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian sehingga mengganggu gugat keharmonian negara, tegas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya peringatan itu diberikan kerana polis setakat ini telah membuka sebanyak 21 kertas siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 diwartakan dan dikuatkuasakan sejak 12 Mac lalu.

“PDRM mengesahkan sebanyak 21 kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) ordinan ini oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kontinjen.

“Setakat ini sebanyak sembilan tangkapan telah dibuat secara berasingan terhadap individu yang disiasat di bawah ordinan ini dan terkini satu lagi tangkapan telah dibuat di kawasan Melaka Tengah, Melaka menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 10 orang,” katanya menerusi kenyataan yang sama.

Tambah Acryl Sani, daripada jumlah 10 individu itu, tiga tangkapan telah menerima arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2021 manakala tujuh yang lain diberi jamin polis sehingga kertas siasatan dilengkapkan.

Ordinan berkenaan adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

Justeru katanya, ia sekaligus memberi kuasa kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan secara keseluruhan atau sebahagian berita tidak benar khususnya di dalam media sosial.

“Seksyen 4(1) dalam ordinan ini memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana orang yang melalui apa-apa cara dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinnan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam atau kepada mana-mana golongan awam, mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar.

“Mana-mana individu yang ditangkap dan disiasat di bawah darurat ini jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Jsuteru, PDRM menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar mengenai usaha kerajaan mengekang Covid-19.

“PDRM juga menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta mengganggu gugat keharmonian negara,” tegasnya.-MalaysiaGazette