Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pelbagai pengusaha dan syarikat berada dalam keadaan bertanya-tanya selepas kerajaan mengumumkan bahawa surat kebenaran perjalanan pekerja akan tamat kesahihannya bermula 1 Jun dan syarikat perlu memohon surat baharu daripada kementerian berlainan mengikut jenis perkhidmatan dan Industri.

Perkhidmatan dan sektor yang dilaporkan berada dalam kebingungan termasuk kedai runcit dan penyedia perkhidmatan pengebumian yang mana masing-masing perlu mendapat kebenaran operasi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Perpaduan Negara.

Pengusaha dilaporkan buntu semasa memohon atau masih menunggu-nunggu kelulusan daripada kementerian menjelang 1 Jun.

Walaupun sektor pembuatan dikatakan tidak berdepan masalah ketika memohon dengan  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sudah berpengalaman dengan pengeluaran surat kebenaran operasi, tetapi mereka khuatir berlaku kekurangan bahan mentah dan perkhidmatan sokongan jika rakan niaga mereka gagal mendapat surat kebenaran operasi pada 1 Jun.

Presiden Persatuan Pekilang Plastik Malaysia, Datuk Lim Kok Boon berkata, walaupun permohonan syarikat pembuatan dengan MITI tidak berdepan masalah besar kerana kementerian itu sudah berpengalaman, tetapi persoalan masih wujud.

Katanya kepada China Press, masalah timbul apabila terdapat rakan niaga yang perlu memohon daripada kementerian selain MITI.

Menurutnya, isu yang timbul termasuk kesesakan yang berlaku selain pengusaha kategori tertentu yang tidak dapat menyemak perkembangan permohonan mereka.

“Walaupun pengusaha dalam pembuatan mendapat kelulusan, tetapi syarikat yang menyokong pembuatan berdepan masalah seperti kesesakan dan ramai yang tidak tahu sama ada permohonan mereka telah diluluskan.

“Jika pembekal bahan mentah tidak mendapat kelulusan beroperasi, kilang pembuatan juga tidak boleh beroperasi,” katanya.

Presiden Persekutuan Persatuan Perniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng pula berkata, selain kesempitan masa untuk melakukan permohonan, keadaan dirumitkan dengan kesesakan sistem dan kesibukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Chee Meng berkata, kelonggaran harus diberikan termasuk membenarkan surat majikan digunakan jika kementerian tersebut tidak sempat mengeluarkan surat kelulusan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Istiadat Pengebumian Orang Ramai Malaysia, Kong Thian Hau berkata, perkhidmatan pengebumian harus diletakkan sebagai perkhidmatan penting semasa pelaksanaan PKP.

Thian Hau dipetik Sinchew Daily sebagai berkata, walaupun perkhidmatan pengurusan jenazah penting terutamanya pada ketika negara dilanda wabak, tetapi industri itu tidak pernah diletakkan dalam senarai tetap perkhidmatan penting.

Katanya, memandangkan kerajaan pada 30 Mei mengumumkan surat kebenaran operasi daripada MITI akan hilang kesahihannya bermula  1 Jun, maka penyedia perkhidmatan pengebumian kekurangan masa untuk membuat permohonan baharu.

Tambahnya, penyedia perkhidmatan juga tidak pasti mereka harus melakukan permohonan dengan mana satu kementerian.

Mengulas isu tersebut, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Tee Lian Ker berkata, permohonan untuk perkhidmatan pengebumian bukan Islam akan dikendalikan kementeriannya. – MalaysiaGazette