Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan takziah atas kematian Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria pada 30 Mei lalu.

Baginda berdua menyampaikan ucapan takziah itu kepada isteri Allahyarham Harussani, Puan Seri Ainon Abdul Ghani dan menyifatkan Dewan Negara Perak serta negeri itu kehilangan seorang ulama tersohor.

Titah baginda, pemergian yang telah ditentukan oleh Ilahi itu semestinya merupakan kehilangan lebih besar kepada waris, anggota keluarga dan sahabat handai.

“Beta menerima berita sedih kembalinya ke Rahmatullah saudara tua beta pada jam 2.45 petang Ahad, 18 Syawal 1442 bersamaan 30 Mei 2021.

“Melalui warkah ini, beta dan Raja Permaisuri menzahirkan ucap takziah kepada Puan Seri dan mendoakan semoga waris, anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham menghadapi saat duka dan hiba ini dengan penuh keredaan dan ketabahan, di samping meningkatkan ketakwaan.

“Semoga segala khidmat murni Allahyarham diterima sebagai amal yang diberikan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzakh, begitu juga pada hari kebangkitan dan semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan roh-roh para solihin. Al-Fatihah,” titah baginda menerusi ucap takziah, hari ini.

Dr. Harussani, 82, sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas disahkan positif Covid-19.

Jabatan Mufti Perak (JMNPk) dalam satu kiriman di Facebook memaklumkan Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 3 petang Ahad.

Baginda bertitah, Allahyarham Dr. Harussani telah memberikan khidmat bakti sebagai Mufti Kerajaan Perak selama hampir 36 tahun bermula 1985.

Titahnya, Allahyarham semasa hayatnya senantiasa memperlihatkan sifat kesetiaan yang tinggi terhadap raja pemerintah dan amat memelihara tata adab dan kesopanan untuk memuliakan dan mendaulatkan institusi Raja Berperlembagaan.

Sultan Nazrin bertitah, Allahyarham juga mempamerkan sifat seorang ulama, ilmuan, pendidik dan pendakwah yang menjunjung amanah dan menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi.

“Pada setiap ketika Allahyarham berusaha sedaya mungkin mengembangkan syiar Islam. Ketokohan yang dimiliki telah meletakkan Allahyarham sebagai seorang tokoh Islam yang dihormati, disegani lagi disayangi.

“Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Mufti, Allahyarham senantiasa menyembahkan pandangan dan nasihat memandu beta untuk memenuhi amanah sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

“Pengalaman peribadi yang amat beta kenangi ialah bimbingan bersifat keayahan Allahyarham semasa mengiringi beta menunaikan Rujun Haji pada 2003,” titahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast