Pihak polis menyerbu sebuah kilang pembuatan topi keledar di Jalan Murni, Sungai Dua, Butterworth di sini hari ini.

BUTTERWORTH – Isytihar sebagai kilang pembuatan sarung tangan dan pelitup muka untuk mendapatkan kebenaran beroperasi dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) atau ‘total lockdown’.

Itu taktik sebuah kilang topi keledar yang berjaya dibongkar pihak berkuasa dalam satu serbuan di Jalan Murni, Sungai Dua di sini hari ini.

Serbuan bermula jam 11 pagi itu turut mendapati beberapa pekerja kilang berkenaan khususnya warga asing gagal mengimbas kod QR MySejahtera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak atas maklumat dan risikan pihaknya mendapati kilang berkenaan menipu dengan mengisytiharkan pembuatan perubatan bagi mendapatkan kebenaran beroperasi ketika SPP.

Noorzainy.


Berdasarkan surat kebenaran MITI, kilang berkenaan dibenarkan operasi susulan menjalankan sektor barangan keperluan peribadi iaitu pakaian perubatan termasuk pelitup muka dan sarung tangan getah.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di kilang berkenaan mendapati mereka beroperasi untuk menghasilkan topi keledar dan tiada sebarang pembuatan perubatan seperti sarung tangan serta pelitup muka ditemui dalam premis berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.

Noorzainy melihat surat kebenaran MITI sebuah kilang pembuatan topi keledar di Jalan Murni, Sungai Dua, Butterworth hari ini.

Tambah Noorzainy, pemilik kilang berkenaan dikompaun RM10,000 dan diarahkan tutup oleh pihak MITI.

“Kilang pembuatan topi keledar tidak termasuk dalam perkhidmatan perlu beroperasi dalam tempoh SPP bermula semalam hingga 14 Jun ini.

“Sekali lagi saya ingin ingatkan, majikan berdepan tindakan tegas sekiranya beroperasi tanpa kebenaran atau memalsukan dokumen perniagaan kepada pihak MITI.

Gagal mengimbas kod QR MySejahtera antara kesalahan dikenal pasti.

“Kita akan lakukan pemeriksaan bagi mengesan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung operasi sesebuah kilang atau pejabat yang melanggar SOP boleh menghubung balai berhampiran untuk tindakan lanjut dilakukan,” kata Noorzainy.

Dalam perkembangan sama, Noorzainya berkata, sebanyak 11 kilang dalam daerah Seberang Perai Utara diperiksa sejak semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Butterworth, Nadzrah Yusof berkata, hasil pemeriksaan mendapati pihak majikan gagal mengikut Akta 446.

Nadzrah memeriksa asrama pekerja asing kilang topi keledar tersebut.

“Mereka didapati gagal  menyediakan tempat tinggal berdasarkan peraturan ditetapkan.

“Satu kertas siasatan akan dibuka ke atas majikan kilang tersebut,” ujar Nadzrah. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Patutlah kerajaan negeri nak minta sangat kawal selia jenis perniagaan waktu PKP. Rasanya lagi pening polis hendak kawal.

Comments are closed.