KUALA LUMPUR – Kes keganasan rumah tangga, penderaan mental dan seksual kanak-kanak sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada pada tahap membimbangkan sejak tahun lepas lagi.

Lantaran itu, peranan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun dalam menangani pelbagai isu berkaitan golongan wanita dan kanak-kanak dipersoalkan Pejuanita Muda.

Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, sungguh mengecewakan apabila kementerian yang sepatutnya membela ‘pembangunan wanita’ didakwa tidak agresif membantu wanita serta kanak-kanak, sedangkan berlakunya peningkatan penderaan wanita dan kanak-kanak berlaku.

“April 2021 Jabatan Agama Islam dan KPWKM umum akan menggunakan masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga. Tahniah atas usaha murni tersebut. Namun sehingga kini tiada penjelasan dibuat mengenai program ini.

“Berapa ramai wanita yang telah dibantu dan mendapat perlindungan di masjid-masjid ini? Bagaimana dengan kawasan yang tiada pusat transit ini? Bagaimana mangsa keganasan rumah tangga boleh pergi ke masjid dalam tempoh ‘lockdown’?

“Adakah ada pelepasan bagi mangsa keganasan rumah tangga untuk keluar rumah dan menyelamatkan diri ke pusat transit? Kes keganasan rumah tangga, penderaan mental dan seksual kanak-kanak sewaktu PKP dan ‘lockdown’ berada pada tahap membimbangkan sejak tahun lepas lagi.

“PDRM sendiri telah mengeluarkan kenyataan 12,330 kes jenayah terhadap wanita, kanak-kanak dan jenayah seksual dilaporkan dalam tempoh PKP. Angka-angka ini membuktikan peningkatan drastik keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak berlaku ketika PKP.

“Negara kita masih kekurangan rumah perlindungan, juga tiada perancangan diuarkan- uarkan oleh Menteri KPWKM tentang bagaimana beliau dan KPWKM akan menghadapi peningkatan kes ini sewaktu PKP,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Sambung Nurul Ashikin lagi, sudah hampir dua tahun negara berdepan pandemik, peningkatan ketara keganasan domestik, penderaan mental dan seksual kanak-kanak sepatutnya sudah boleh dijangka.

“KPWKM sepatutnya telah ada inisiatif dan menghebahkannya kepada umum terutama sekali pada wanita dan kanak-kanak tentang bagaimana mereka boleh mendapat bantuan dan perlindungan. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang tiada sumber kewangan sendiri,” ujarnya.

Tambah Nurul Ashikin, pihaknya memohon kepada KPWKM supaya tampil memberi bantuan kewangan khas terus (ke bank akaun) mangsa agar mereka boleh menyelamatkan diri.

“Cadangan ini bagi mangsa yang tiada pendapatan sendiri. Juga kita mohon pastikan sekurang-kurangnya setiap kawasan Parlimen dan DUN lengkap dengan rumah perlindungan, sediakan pengangkutan bagi ibu dan anak mengikut kawasan bagi mereka berpindah ke rumah perlindungan.

“Juga tambah bilangan pekerja sosial di setiap negeri agar mangsa boleh dibantu segera dari rumah ke rumah, membuat hebahan yang lebih meluas tentang cara mendapatkan bantuan, menggerakkan kempen jiran prihatin terutama sekali bagi kanak-kanak yang tiada akses telefon.

“Menjadi pemimpin itu adalah amanah, jadi tunaikanlah amanah terhadap masyarakat sebaiknya,” tegasnya. -MalaysiaGazette