KUALA LUMPUR – Penyanyi Zynakal memohon maaf secara terbuka selepas dikecam menghina salah satu pakaian tradisional etnik di Sarawak.
Dalam permohonan maaf di Instagram miliknya itu, pemilik nama sebenar Muhammad Raziq Rosli itu berkata, dia tiada niat untuk mempersendakan budaya mahupun adat orang Sarawak.
“Saya hanya bergurau tentang reaksi wajah Yonnyboii dalam posting yang dibuatnya.
“Justeru saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya warga Sarawak yang terasa dengan komen saya di ruangan komen gambar Yonnyboii,” katanya.
Pernyataan maaf itu muncul selepas empat hari penyanyi Sakit itu meninggalkan komen “Uga Uga” pada ruangan reaksi Instagram Yonnyboii.
Komen tersebut seakan-akan menyamakan budaya Sarawak seperti orang zaman batu.
Situasi itu pula berlaku di tengah-tengah kontroversi seorang pempengaruh yang baru-baru ini didakwa menghina pakaian tradisi salah satu etnik di Sarawak.
Melalui sebuah rakaman video, selebriti YouTube itu menyamakan pakaian tersebut antaranya seperti kain buruk dan langsir.
Zynakal turut berjanji kejadian sama tidak akan berulang lagi.
“Saya harap maaf saya diterima oleh anda semua terutama orang Sarawak.
“Saya juga harap benda ini tidak akan berulang lagi, kamek sayang kitak,” katanya. – MalaysiaGazette