Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina khemah sementara di kawasan pedalaman yang tidak boleh dilalui sebarang jenis kenderaan di Sabah dan Sarawak bagi melancarkan proses vaksinasi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina khemah sementara di kawasan pedalaman yang tidak boleh dilalui sebarang jenis kenderaan di Sabah dan Sarawak bagi melancarkan proses vaksinasi.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sama, ATM juga akan menyediakan semua pengangkutan daratnya terutama bas untuk mengangkut penduduk di pedalaman ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Untuk membantu proses vaksinasi oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kita akan menyediakan bas ATM untuk masuk ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak mengambil penduduk ke PPV.

“Selain bas, jika kawasan itu tidak boleh dilalui pengangkutan darat, kita sediakan helikopter untuk pastikan setiap rakyat menerima suntikan vaksin,” katanya pada sidang media pelancaran pembinaan Hospital Modular Covid-19 Angkatan Tentera Malaysia di Lobi Utama Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, bagi kawasan yang tidak boleh dimasuki sekalipun, ATM bersedia membina khemah sementera dan menghantar doktor serta paramedik ke kawasan pedalaman menerusi program Jiwa Murni.

“Ada kawasan yang perlu naik bot, warga emas tidak mampu keluar dan perlu masa untuk sampai ke PPV, kita akan bina khemah untuk proses vaksinasi di perkampungan itu.

“Ini antara usaha ATM untuk mengurangkan bebanan KKM dan sebagai jaminan kita untuk memastikan setiap rakyat dapat vaksin walau di mana saja mereka berada termasuk di kawasan yang tidak boleh dimasuki kenderaan,” katanya.

Ditanya mengenai pusat vaksin pandu lalu, Ismail Sabri berkata, beliau ada melawat tempat itu dan program berkenaan dimulakan dengan memberi vaksin kepada anggota tentera serta keluarga di kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Katanya, selepas selesai semua anggota tentera dan ahli keluarga, pusat vaksin pandu lalu itu akan dibuka kepada orang awam.

Beliau turut menjelaskan, usaha ATM untuk membina sekurang-kurangnya lapan Hospital Medan termasuk menambahkan bilangan doktor yang diambil secara kontrak mereka yang telah bersara.

“Setakat ini, kita ada kemampuan untuk membina dua Hospital Medan termasuk sebuah yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat swasta.

“Malah, Perdana Menteri ada umum bajet akan ditambah untuk menambah tenaga kerja seperti doktor dan paramedik serta peralatan dan dengan peruntukan baharu (tambahan) ini kita boleh tambah enam lagi, menjadikan lapan hospital medan.

“Saya hara apa yang dilakukan oleh ATM ini dapat membantu kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 dan isu berkaitan vaksin. ATM sentiasa bersama rakyat,” katanya.

Beliau berkata, permohonan pengambilan doktor dan paramedik iaitu pegawai perubatan profesional yang bersara secara kontrak akan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan kelulusan.

Berhubung Hospital Modular Covid-19, Ismail Sabri menyatakan, pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat swasta.

Katanya, selepas siap nanti, hospital itu boleh memuatkan sebanyak 64 katil termasuk 16 katil unit rawatan rapi dan akan diserahkan kepada pengurusan Hospital Tuanku Mizan.

“Pembinaan hospital mengambil masa tiga bulan untuk siap, tetapi sekiranya mendapat kelulusan pelan dari DBKL dan Kementerian Kesihatan, kita jangkakan siap dalam tempoh dua bulan.

“Ini satu contoh yang sangat baik iaitu penglibatan swasta membantu kerajaan menangani isu Covid-19 ini. Pihak swasta sebenarnya banyak membantu terutama pada PKP 1.0 lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast