KUALA LUMPUR – Masyarakat boleh membantu meringankan beban petugas di barisan hadapan dengan mematuhi peraturan iaitu SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terharu melihat betapa besarnya cabaran dihadapi mereka terutama pasukan keselamatan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

“Anggota polis dan tentera kita siang dan malam bertugas untuk memastikan langkah-langkah menangani wabak itu berjaya.

“Saya percaya, jika boleh mereka juga mahu sentiasa bersama keluarga pada waktu-waktu sukar begini.

Ahmad Zahid Hamidi

“Namun, demi negara dan kemaslahatan masyarakat, mereka gigih menggalas tanggungjawab walaupun dibadai ribut petir,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas sepasukan anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang bertugas di satu Sekatan Jalan Raya (SJR) bertungkus lumus mempertahankan khemas mereka dari diterbangkan angin dalam kejadian ribut.

Video berdurasi 2:09 saat itu menunjukkan anggota polis dan Rela basah kuyup akibat hujan lebat beserta angin kencang.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, perkara itu sekurang-kurangnya boleh diatasi sekiranya rakyat dan masyarakat memainkan peranan masing-masing.

Katanya, peranan itu ialah dengan mematuhi peraturan ditetapkan atau jika tiada keperluan, jangan keluar rumah atau cuba merentas negeri dan daerah untuk sebab-sebab yang bukan mendesak.

“Beri kerjasama penuh kepada anggota polis dan tentera kita di SJR walaupun ada surat kebenaran untuk merentas.

“Perlu semat dalam fikiran, mereka sedang cuba membantu kita, sama sekali bukan mahu menyusahkan kita. Fahamilah, kita sedang berperang dengan musuh yang tidak terlihat Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast