KUALA LUMPUR – Sabah menyaksikan paling banyak lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 5 Jun ini iaitu enam kawasan berikutan peningkatan kes positif Covid-19.
Pahang dan Sarawak pula menyaksikan satu lokaliti PKPD.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD ialah Kampung Sugud, di Penampang, diikuti empat di Tawau iaitu Taman Milenium, Taman Wawasan, Kawasan Semarak dan Kampung Jawa Kongsi 10 serta Kampung Pengaraban di Kudat.
Manakala Pahang pula melibatkan Ladang Chin Teck, di Muadzam Shah, Rompin dan Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, di Mukah, Sarawak.
Katanya, di Kampung Pengaraban, Kudat, merekodkan kadar positivity sebanyak 33.33 peratus, iaitu lapan kes positif dicatatkan daripada 24 ujian saringan.
“Empat lokaliti di Tawau pula merekodkan 96 kes positif iaitu 16 kes di Taman Milenium, Taman Wawasan (13), Kawasan Semarak (55) dan Kampung Jawa Kongsi 10 (12).
“Manakala di Kampung Sugud, Penampang, daripada 29 ujian saringan, 12 disahkan positif Covid-19. Begitu juga di Rumah Panjang Sigah anak Lak, Mukah, berlaku peningkatan kes positif dengan kadar positiviti 42.53 peratus daripada 87 ujian saringan.
“Di Ladang Chin Teck, Muadzam Shah pula, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan ada peningkatan kes mendadak dalam masa seminggu iaitu 12 kes positif daripada 223 ujian disaring,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Justeru, katanya, Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokaliti berkenaan berkuatkuasa 5 hingga 18 Jun ini.
Selain itu, kata Ismail Sabri, sebanyak 16 lokaliti yang diletakkan bawah PKPD iaitu satu di Tumpat, Kelantan dan 15 di daerah Besut, Terengganu dilanjutkan tempohnya selama dua minggu lagi bermula 5 hingga 18 Jun ini.
Lanjutan PKPD itu melibatkan Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat dan Mukim dalam daerah Besut, Terengganu.
Kata beliau, PKPD bagi lokaliti itu sepatutnya tamat tengah malam ini, tetapi kerana masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baru direkodkan di lokaliti tersebut, maka ia dilanjutkan.
Namun begitu, PKPD Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Besut, Terengganu; Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang; Kampung Indani di Semporna dan Kampung Pisang di Tawai, Sabah; enam Mukim di Perak; dan Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh di Kelantan ditamatkan masing-masing mulai tengah malam ini, 9 Jun dan 10 Jun ini.
Katanya, enam Mukim di Perak yang ditamatkan PKPD ialah Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta (Lahat, Chemor, Ipoh dan Tanjung Rambutan) dan Hulu Bernam Timur pada 4 Jun, manakala Bagan Serai dan Parit Buntar tamat pada 9 dan 10 Jun ini. – MalaysiaGazette