Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Exco Kerajaan Negeri Johor bersepakat untuk menyumbangkan tiga bulan gaji mereka ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalam kenyataannya hari ini berkata, sumbangan itu bermula pada bilan ini hingga Ogos bagi meningkatkan keupayaan kerajaan negeri melawan pandemik Covid-19.

“Sejak tabung ini ditubuhkan tahun lalu, sebanyak RM44.83 juta sumbangan telah diterima daripada pelbagai pihak dengan RM41.65 juta sudah digunakan untuk manfaat rakyat di seluruh negeri.

”Bagi menambah dana dan meningkatkan kapasiti kesihatan awam, saya mengajak semua wakil rakyat Johor menyumbang sebahagian daripada elaun diterima ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor untuk membantu rakyat.

“Saya juga menyeru pihak swasta, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu yang prihatin untuk menyumbang ke dalam tabung berkenaan bagi membantu dan memberi manfaat kepada lebih ramai pihak yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah tahun ini sehingga 30 September dengan pemberian rebat sebanyak 10 peratus.

“Denda lewat tahun 2021, iaitu sebanyak 20 peratus dengan kadar minimum RM10 yang sepatutnya dikenakan bermula 1 Jun hanya akan dikenakan mulai 1 Oktober ini.

“Lanjutan tempoh akhir ini akan dapat memberi masa yang mencukupi bagi pemilik menunaikan tanggungjawab menjelaskan bayaran cukai tanah masing-masing.

”Kerajaan negeri amat menghargai usaha dan komitmen semua pemilik untuk menjelaskan bayaran cukai tanah mereka dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.-Malaysiagazette