Polis menahan sembilan individu yang hadir majlis sambutan hari jadi kerana mengingkari arahan prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Pergerakan dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Stulang di sini semalam.
JOHOR BAHRU – Polis menahan sembilan individu yang hadir majlis sambutan hari jadi kerana mengingkari arahan prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Pergerakan dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Stulang di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Lim Jit Huey berkata, serbuan pukul 11.59 malam itu, pihaknya berjaya menahan lima lelaki tempatan dan empat wanita warga asing yang berusia antara 30 hingga 46 tahun.

“Kesemua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan berkumpul dan menjalankan aktiviti yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Lima lelaki tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang manakala empat wanita warga asing ditahan reman kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jit Huey, polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan dalam majlis berkenaan antaranya dua buah pembesar suara, dua lampu berwarna warni, serangkai kunci dan satu kad akses.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan.

Sehubungan itu, polis menegaskan pihaknya komited dalam menjalankan operasi bagi membanteras sebarang kegiatan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan sepanjang tempoh PKP-MalaysiaGazette