KUALA LUMPUR – Kerajaan membuka enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu bagi merancakkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembukaan PPV secara pandu lalu itu adalah inisiatif Kementerian Pertahanan dalam menyahut seruan kerajaan meningkatkan program vaksinasi.
Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah sebahagian daripada pasukan barisan hadapan dan sudah tentu akan terkehadapan dalam program vaksinasi.
“Ini selaras dengan kedudukannya sebagai benteng negara yang berperanan untuk membentuk imuniti kelompok.
“Kita sarankan rakyat agar menyahut usaha dilakukan kerajaan ini dengan menyokong PICK bagi berganding bahu menyelamatkan negara daripada pandemik ini,” katanya dalam kenyataan harian mengenai situasi Covid-19, di sini, hari ini.
Sehingga semalam, katanya, seramai 3.33 juta penduduk telah divaksin iaitu 2.2 juta mendapat dos pertama, manakala 1.1 juta sudah melengkapkan dos kedua.
Menurut beliau, sejak dilancarkan pada Februari lalu, kerajaan mensasarkan 80 peratus daripada populasi negara atau 26.5 juta individu menerima vaksin secara percuma menjelang hujung tahun bagi membentuk imuniti berkelompok.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, polis menahan 946 individu atas kesalahan ingkar SOP.
Kata Ismail Sabri, daripada jumlah itu, 924 individu dikompaun manakala 22 lagi direman dan kesalahan tidak memakai pelitup muka direkodkan paling tinggi iaitu 237, diikuti rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (186).
Kesalahan lain ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis seramai 160 individu, tiada penjarakan fizikal (156), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (71), membawa penumpang berlebihan (63), premis gagal patuhi arahan (14) dan lain-lain kesalahan 59 kes. – MalaysiaGazette