Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat di negara ini, tanpa terkecuali sesiapa pun, cukup terkesan dengan pandemik Covid-19, kata Penasihat PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, dengan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Januari lalu, ia benar-benar menguji tugas dan tanggungjawab pemimpin terutama blok pembangkang untuk membantu rakyat.

Katanya, kegagalan ketara kerajaan Perikatan Nasional (PN) ialah menangani penularan wabak Covid-19 menerusi vaksinasi.

Kata beliau, proses vaksinasi di negara ini antara paling rendah liputan yang boleh mencetuskan kebimbangan rakyat dengan kenaikan kes secara terus menerus setiap hari.

“Bayangkan, angka meningkat sehingga melebihi 9,000 kes baharu sehari, kematian mencecah setinggi 126 kes sehari dan kes aktif pula menjangkau ke angka 80,000 kes sehari.

“Bahkan, kadar pendaftaran melalui program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) walaupun sudah meningkat kepada 100,000 inokulasi sehari, kerajaan masih tidak bertindak agresif dalam pemberian vaksin kepada rakyat.

“Sedangkan, negara harus segera mencapai Imunasi Kelompok (Herd Immunity). Apabila sudah mencapai 75 peratus rakyat diberikan vaksin, Malaysia akan keluar dan pulih daripada krisis pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Kongres Wanita Nasional PKR ke-15 yang diadakan secara maya hari ini.

Dr. Wan Azizah berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan yang pantas dan pelan strategik yang baik serta jelas bagi meningkatkan lagi kadar suntikan vaksin kepada rakyat.

Ini katanya, hospital swasta dan klinik perubatan awam harus terlibat sama agar proses vaksinasi mudah diakses kepada masyarakat.

Beliau menyatakan, ekonomi rakyat semakin terjejas berikutan pandemik itu, manakala harga barangan semakin meningkat dan pendapatan bertambah meruncing.

“Simpanan rakyat semakin mongering, kehidupan mereka semakin menghimpit dan keluarga hidup sengsara. Warga muda pula bergelut hidup, tanpa pekerjaan dengan kadar pengangguran mencapai 13.4 peratus sehingga Mac lalu.

“Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penganggur mencecah 753,200 dengan kadar pengangguran 4.7 peratus pada Mac lalu,” katanya.

Dr. Wan Azizah turut menempelak prosedur SOP sepanjang PKP yang disifatkan wujud “dua darjat” dan tidak jelas, malah sering bertukar dalam masa beberapa hari sehingga mengelirukan dan menyukarkan rakyat untuk merancang kehidupan.

Katanya, pandemik Covid-19 mengajar semua pihak untuk melihat situasi itu secara menyeluruh dan atas dasar itu mereka perlu memikirkan polisi yang boleh menangani dan menyelesaikan masalah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast