MITI total lockdown
Posting tutup pintu depan menjadi isu dan gurauan pelbagai pihak.

SAYA memerhati pelbagai andaian dan telahan yang dibuat oleh netizen dan juga orang politik apabila tular satu posting bergambar Datuk Seri Ismail Sabri yang sedang menutup pintu.

Kapsyen yang ringkas, “Sy dah tutup pintu depan tapi..” menjadi satu fenomena dan mengundang pelbagai persepsi positif dan negatif.

Saya cukup yakin, posting tersebut hanya untuk menjelaskan beliau telah menjalankan tanggungjawabnya apabila tular berkaitan kilang arak yang dibenarkan beroperasi oleh MITI.

Yang mana, jelas kilang arak itu bukan dalam senarai Essential Services atau Perkhidmatan Perlu, walaupun ianya di bawah sektor makanan dan minuman yang dibenarkan.

Bagi Datuk Seri Ismail Sabri, ianya prinsip yang perlu dipegang dalam menjalankan tugas sebagai menteri dan satu-satunya jurucakap kerajaan yang akan berdepan pelbagai cacian dan makian rakyat yang tidak bersetuju.

Masalah ini tidak besar pun. Ianya soal prinsip dan soal keputusan yang akhirnya akan ditentukan oleh kerajaan. Dalam apa jua keadaan, kita mungkin boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Itu prinsipnya.

Bukan soal persengketaan dan jauh dari perbalahan seperti sengaja dimainkan oleh sesetengah portal yang kita tahu dibayar untuk mewujudkan satu peperangan besar dari kalangan menteri-menteri.

Sedangkan, ianya satu situasi biasa untuk antara menteri boleh berbeza pendapat dan akhirnya satu keputusan kolektif bakal dipersetujui atau dicapai.

Tangan-tangan jahat yang sengaja mengadu-domba seperti berita kononnya Datuk Seri Ismail Sabri akan meletakkan jawatan juga kita tahu dari mana dan pihak mana.

Soalnya, bagaimana kita mahu melandaikan lengkuk jangkitan. Sedangkan, asas kepada “lockdown” adalah untuk kerajaan meminimumkan pergerakan rakyat dan pekerja yang bekerja dalam sektor bukan perkhidmatan perlu.

Kerajaan menyasarkan 13.5 juta pekerja akan bekerja dari rumah. Ianya boleh berlaku jika sektor terkait ditutup untuk 14 hari pertama. Ini merupakan formula asas memastikan tiada jangkitan baru untuk membolehkan sistem kesihatan kembali kepada bawah 40 peratus berbanding sekarang keupayaan hospital dan pusat kuarantin yang telah mencapai tahap 97 peratus keupayaan.

Jika kes tinggi setinggi lebih 8,000 kes sehari ini berkekalan selama lima hari, maka sistem kesihatan kita bakal runtuh dan lumpuh.

Objektif ini tidak akan berkesan jika sektor kilang dan perusahaan masih diberikan kebenaran untuk beroperasi melebihi apa yang perlu. Jumlah kelulusan dari MITI menjadi persoalan ahli mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bukan soal peribadi antara Mohamed Azmin Ali dan Ismail Sabri, bukan soal perbezaan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional kerana ianya jelas soal rakyat dan keputusan sukar yang harus dan wajib dikekalkan sepertimana persetujuan semua menteri dalam mesyuarat kabinet untuk melaksanakan “lockdown”.

Tidak ada peperangan peribadi antara Azmin-Ismail. Tidak ada perselisihan peribadi kedua mereka. Apa yang ada adalah soal prinsip dan keputusan yang harus dikekalkan demi negara dan nyawa rakyat Malaysia.

Apakah salah untuk menteri berbeza pendapat? Apakah salah penghujahan untuk sesuatu fakta diketengahkan dalam proses mencari penyelesaian terbaik? Ianya proses dan rutin biasa yang berlaku.

Pihak yang sengaja mahu menambah garam dan sengaja mahu melihat keberantakan antara pimpinan dalam kerajaan pasti mengambil situasi ini sebagai kelebihan bagi mereka.

Ditambah pula penasihat yang mungkin bakal mengaut keuntungan dari perselisihan sebegini pasti berusaha untuk mewujudkan sesuatu lebih panas dan tegang, walhal tidak ada isu dan dakwaan sepertimana ada berita tepuk meja dan saling bertengkar dalam keadaan tegang pun.

Saya yakin apabila ianya diselesaikan dengan keterlibatan pihak yang rasional dan sudah pasti Muhyiddin akan melihat isu ini dengan teliti dan tidak ada faktor besar yang boleh mengganggu-gugat kerajaan yang sedang sedaya upaya mahu menyelamatkan nyawa rakyat pada masa ini.

Datuk Seri Ismail Sabri bukan manusia yang senang melatah. Beliau juga seorang pemimpin yang meletakkan keutamaan kepada nasib rakyat berbanding untuk dirinya sendiri.

Beliau sanggup menjadi papan sasar kemarahan rakyat kerana yakin apa yang dilakukan pasti membuahkan hasil yang baik kepada rakyat dan percaya satu hari rakyat akan berterima kasih dengan ketegasan dan keprihatinannya.

Insya-Allah, kita sebagai rakyat mampu menilai adu domba dari tangan-tangan jahat dan juga permasalahan sebenar yang tidak harus diperbesarkan sehingga merencatkan usaha asal kita untuk memastikan jumlah jangkitan baharu tidak akan bertambah tanpa kawalan.

Sama-sama kita berjuang dan tumpu kepada setiap usaha untuk memastikan bukan sebahagian dari statistik yang dibaca setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Insya-Allah.

Wan Khairul Ihsan

Penulis, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad adalah aktivis politik dan NGO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast