M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri baru-baru ini bersetuju untuk melanjutkan penangguhan pelaksanaan Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) bagi penggajian pekerja warga asing hingga 1 Januari 2022.

Sebelum ini, Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) telah ditangguhkan pelaksanaannya dari 1 Januari 2021 hingga 1 Julai 2021, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan.

“Saya turut memaklumkan ahli mesyuarat mengenai mekanisme pelaksanaan Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) di mana penggajian pekerja warga asing adalah berdasarkan keperluan sebenar industri.

“Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) dijangka dapat mengurangkan kebergantungan tinggi negara kepada pekerja warga asing kerana kadar levi akan meningkat mengikut siling kebergantungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Saravanan, kementeriannya akan menggunakan modul eQuota di bawah Foreign Workers Centralised
Management System (FWCMS) bagi melaksanakan Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) kelak dan FWCMS adalah sebuah sistem digital yang holistik bagi pengurusan pekerja asing di negara ini dengan mempunyai 14 modul berasingan yang saling berhubung kait selain daripada eQuota.

“Ini termasuklah eWages, eEnforcement dan eComplaint. Aplikasi Working for Workers (WFW) yang diperkenalkan oleh KSM pada 3 Mei 2021 untuk pekerja mengemukakan 17 kategori aduan perburuhan secara dalam talian adalah terkandung dibawah modul eComplaint.

“Selain itu, penggunaan modul eQuota juga akan dapat memastikan ketelusan proses penentuan kelayakan kuota pekerja asing kepada majikan dan akan digunakan untuk pengambilan pekerja-pekerja warga asing baru dari negara sumber.

Pada masa yang sama, menurut Sravanan, kementeriannya tetap dan akan komited untuk memberikan keutamaan kepada pekerja-pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan sedia ada dan menggesa agar orang awam khususnya golongan belia melayari portal pekerjaan nasional di www.myfuturejobs.gov.my untuk tujuan pendaftaran serta penempatan kekosongan jawatan yang bersesuaian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast