Safee Sali.

KUALA LUMPUR – Penyerang berpengalaman, Safee Sali menyifatkan projek naturalisasi telah memberi harapan terlalu tinggi kepada peminat bola sepak negara ini ke atas skuad Harimau Malaya.

Menerusi hantaran Facebook miliknya, beliau berkata, kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebenarnya sudah dijangka berdasarkan pengalamannya bermain dengan pasukan negara Timur Tengah.

“Boleh saya katakan, kita semua hanya terpedaya dengan skuad dan projek naturalisasi yang dibuat membuatkan kita semua percaya dan meletakkan harapan terlalu tinggi.

“Apa-apa pun masih ada dua lagi perlawanan yang sangat penting dan saya tetap yakin pemain tempatan kita jika diberi peluang dan kepercayaan, pasukan kita boleh menang dan bermain mati-matian untuk nama negara.

“Kalau ikutkan hati pemain, esok juga nak main demi membalas kepercayaan dan membuktikan kita bukanlah seperti apa yang peminat fikiran.

“Bukan masa untuk angkat bendera putih, masih ada peluang. Kita, Vietnam dan Thailand tidak jauh berbeza. Insya-Allah kita boleh menang,” tulisnya yang turut memuat naik coretan di Instagram.

Kekalahan 0-4 Harimau Malaya di tangan UAE dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe jatuh ke tangga keempat Kumpulan G, namun berkongsi sembilan mata bersama UAE dan Thailand yang menghuni kedudukan kedua dan ketiga.

Susulan dari kekalahan itu, pemain naturalisasi, Guilherme De Paula menjadi sasaran utama kecaman peminat dengan ada yang menggesa kerakyatannya ditarik balik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast