Antara barangan rampasan berupa bahagian kenderan yang dicuri pada sidang media mengenai kejayaan pihak polis daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sembilan kes curi kereta melibatkan empat lokasi di Petaling Jaya dan selebihnya di kawasan lain berjaya diselesaikan apabila polis  berjaya menangkap lima lelaki baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid, dua daripada suspek ditangkap pada 3 Jun lalu di Jalan PJS 2B, Kawasan Desa Mentari, Petaling Jaya ketika sedang meleraikan komponen kereta Perodua Kembara yang dilaporkan hilang lima hari sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan antara barangan rampasan berupa bahagian kenderan yang dicuri pada sidang media mengenai kejayaan pihak polis daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JUN 2021.

“Pada 29 April 2021 jam lebih kurang 11.45 pagi pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menerima laporan oleh pengadu seorang lelaki warganegara tempatan berumur 37 tahun menyatakan pada 28 April lalu telah meletakkan kereta miliknya di Jalan SS2, Sea Park dalam keadaan berkunci.

“Lebih kurang 8 pagi pengadu mendapati kereta miliknya hilang disyaki dicuri,” katanya menerusi sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Turut dirampas bersama-sama dua suspek adalah tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama dan kenderaan Perodua Kembara dalam keadaan tidak sempurna.

Setelah kedua-dua suspek disiasat, Fakhrudin berkata, polis kemudiannya telah menyerbu premis barangan lusuh haram di kawasan berhampiran dan telah menangkap tiga suspek yang sedang meleraikan kereta curi.

“Pemeriksaan dalam premis haram tersebut membawa kepada pendemuan kenderaan pelbagai jenis dalam keadaan tidak sempurna yang disyaki hasil curi dan lain-lain barangan yang telah dirampas untuk siasatan lanjut.

“Antara barangan yang dirampas adalah, lima buah telefon pelbagai jenama 13 buah rangka kenderaan pelbagai jenis yang merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang sebelum ini. Sembilan biji tayar beserta rim pelbagai jenis.

“Tujuh unit enjin motokar pelbagai jenis dalam keadaan tidak sempurna. Tujuh unit pelbagai komponen kenderaan mendapati dua daripadanya adalah komponen kenderaan yang dilaporkan hilang, pelbagai peralatan yang digunakan untuk meleraikan komponen kenderaan dan sebuah tong sampah mengandungi pelbagai barangan lusuh juga dirampas,” jelasnya.

Suspek pertama didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah, suspek kedua pula memiliki 12 rekod jenayah manakala, suspek ketiga mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Suspek keempat dan kelima pula tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 22 hingga 36 tahun.

Kelima-lima suspek direman empat hari bermula 4 hingga 7 Jun 2021 untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana telah mencuri kenderaan.-MalaysiaGazette