KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengkritik peranannya sebagai wakil rakyat.

Malah beliau memberi jaminan akan melipatgandakan usaha demi memberikan khidmat yang lebih baik kepada warga Muar.

Setakat ini, katanya, pihaknya telah menyampaikan anggaran 1,000 komputer riba dan tablet dan lebih 7,000 bakul makanan kepada keluarga susah di kawasannya.

Syed Saddiq kini juga sedang menjalankan program pendaftaran vaksinasi termasuk akan menghantar rakyat Muar ke Johor Bharu untuk menerima vaksin.

“Walaupun peruntukan Muar telah ditarik, patik tetap cuba sebaik mungkin untuk berkhidmat.

“Patik tahu bantuan ini tidak mencukupi, patik akan melipat gandakan usaha patik supaya patik boleh memberikan khidmat yang lebih baik kepada warga Muar, terima kasih TMJ,” katanya menerusi video yang dimuat naik menerusi Twitter hari ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, dirinya sentiasa terbuka untuk menerima cadangan dan kritikan berkaitan dengan kebajikan rakyat di Muar.

“Terima kasih TMJ kerana sentiasa prihatin berkenaan kebajikan warga Muar, sebagai wakil rakyat patik sentiasa terbuka kepada kritikan, cadangan dan jalan penyelesaian daripada pelbagai pihak termasuk TMJ,” tambahnya.

Semalam, TMJ menerusi ruang soal jawab di Instagram Story ditanya tentang pendapatnya terhadap Syed Saddiq,

TMJ sebaliknya menjawab soalan netizen dengan cara mengemukakan soalan termasuk mengenai pencapaian Syed Saddiq semenjak menjadi Ahli Parlimen Muar.

Baginda juga menyifatkan Syed Saddiq tiada pendirian dan berkata negara memerlukan ahli politik yang berprinsip bukan populis.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

TMJ pertikai tanggungjawab Syed Saddiq sebagai MP Muar