Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (tengah) menunjukkan cara penyimpanan dadah di dalam alat mainan sebelum dibungkus dan dihantar melalui khidmat kurier pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki tempatan  berhadapan hukuman penjara seumur hidup, hukuman mati atau sebatan tidak kurang 15 kali kerana terlibat dengan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Assiten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada 2 Jun lalu dan menemui empat kotak alat permainan kanak-kanak yang berisi heroin seberat 408.35 gram di salah sebuah pusat perkhidmatan kurier.

“Berdasarkan maklumat yang diterima pukul 11 pagi pada 2 Jun lalu, polis telah buat pemeriksaan di salah sebuah pusat perkhidmatan kurier di Petaling Jaya berhubung dakwaan seorang pekerja premis tersebut menemui empat kotak yang mencurigakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kemudian pada jam 12.30 tengah hari pula, satu lagi kotak berisi alat permainan yang disembunyikan heroin di dalamnya seberat 92 gram ditemui bersama suspek pertama berusia 32 tahun di sebuah kedai serbaneka di Batu 9, Cheras dekat sini.

“Turut dirampas satu kotak di dalam kedai tersebut di bahagian kaunter pembayaran dan hasil pemeriksaan, kotak tersebut mengandungi alat permainan kereta dan di dalamnya terdapat satu paket plastik lutsinar yang dibaluti dengan aluminium foil disyaki dadah jenis heroin seberat 105 gram.

“Polis turut merampas satu rangkai kunci rumah dan lima kad akses rumah dan parkir di dalam kereta yang dipandu suspek,” katanya lagi.

Rampasan kedua pula membawa kepada serbuan ketiga di sebuah kondominium di  Bandar Damai Perdana, Cheras pukul 1.30 petang.

Menurut Fakhrudin, hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis berjaya merampas dua lagi kotak pelbagai alat mainan mengandungi dadah jenis heroin seberat 606 gram, dadah jenis syabu seberat 0.42 gram dan dadah jenis ecstacy seberat 0.56 gram termasuk pelbagai barangan yang disyaki digunakan dalam pemprosesan dan pembungkusan dadah.

Dadah berjaya dirampas yang disorakkan dalam alat mainan sebelum dibungkus dan dihantar melalui khidmat kurier pada sidang media mengenai kejayaan pihak polis daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JUN 2021.

Penemuan itu kemudiannya membawa kepada kejayaan menahan suspek kedua menerusi serbuan keempat di sebuah apartmen di Jalan Kepong pukul 2 pagi pada 3 Jun lalu.

Suspek berusia 27 tahun itu dipercayai bersama-sama suspek pertama didakwa terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketika serbuan, polis menyita dan merampas wang tunai berjumlah RM162,500, wang tunai dalam mata wang Dollar bersamaan lRM432.89, wang tunai Dollar Hongkong anggaran RM63.77 dan wang tunai China bernilai RM58.11.

“Turut dirampas tujuh utas jam pelbagai jenama bernilai anggaran RM125,500.000 dan sebuah kereta jenis Mazda bernilai RM50,000,” katanya lagi.

Hasil ujian saringan awal suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek kedua negatif dadah.

Suspek pertama pula tidak mempunyai rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan satu rekod di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek telah ditahan reman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(1)(a) akta sama.

Sementara itu Fakhrudin berkata, dalam serbuan berasingan, seorang lagi lelaki warganegara tempatan, 24 tahun juga mengedar dadah berjaya ditangkap di kawasan Taman Taming Jaya, Balakong pukul 6 petang pada 3 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan di rumah suspek, pihak polis tidak menjumpai sebarang dadah namun begitu pihak polis membuat sitaan dan rampasan sebuah kereta jenis Nissan GT-R35 bernilai anggaran RM350,000, wang tunai berjumlah RM26,442, mata wang asing berjumlah 36,000 Yen bersamaan lebih kurang RM978, lima bentuk cincin bernilai RM6,700 dan dua utas gelang tangan bernilai RM6,400,” tambahnya.

Suspek direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah yang sama dengan dua suspek terdahulu.

Nilai keseluruhan sitaan barang-barang yang dirampas dalam serbuan-serbuan ini adalah bernilai lebih kurang RM1.4 juta.- MalaysiaGazette