Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung hari ini rata-ratanya mengusulkan PKR menolak kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung hari ini rata-ratanya mengusulkan PKR menolak kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha AMK Pahang, Ahmad Saifuddin Razali ketika membahaskan ucapan dasar berkata, bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu telah mengkhianati perjanjian dengan tidak menyerahkan kuasa pemerintahan pilihan rakyat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tun Mahathir tidak memperjuangkan idelisme perjuangan reformasi dan jelas dapat dilihat apabila beliau tidak melaksanakan agenda reformasi semasa menjadi Perdana Menteri ke 7.

“Tun Mahathir merupakan beban kepada mana-mana parti yang akan beliau sertai kerana kegagalan beliau memerintah PH,” katanya dalam Kongres AMK secara maya hari ini.

Ahmad Saifuddin juga berkata, Mahathir meletakkan jawatan tanpa berbincang dengan ketua-ketua parti gabungan PH sehingga menyebabkan kerajaan itu jatuh.

Perwakilan Terengganu, Yuslaii Azmi pula menegaskan, PH perlu belajar dari sejarah dan tidak membuat sebarang kerjasama dengan Mahathir lagi.

“Akibat kecuaian beliau sendiri menyakibatkan negara berada dalam keadaan tidak tentu hala, jika ada insan yang yang ingin menamakan beliau sebagai Perdana Menteri lagi sekali, saya tidak setuju sama sekali.

“Kita telah beri peluang kepada kepada Mahathir dan tidak mungkin kita ingin ditipu buat kali kedua. Ibarat melepaskan anjing yang tersepit,” katanya.

Turut dikritik langkah penggantungan sidang Parlimen yang kini sudah mencecah tempoh lima bulan.

Menurut perwakilan AMK Pulau Pinang, R. Krishnan, tindakan kerajaan menggantung sidang Parlimen menunjukkan mereka tidak berminat untuk membincangkan masalah rakyat di peringkat tertinggi.

“Adalah tidak wajar dan tidak masuk akal perundangan Dewan Rakyat digantung kerana rakyat sedang menghadapi pelbagai masalah kesan daripada pandemik Covid-19.

“Di manakah tempatnya kalau bukan Parlimen untuk membincangkan kepentingan rakyat? Rakyat amat memerlukan bantuan pada masa sekarang dan menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memikirkan cara yang terbaik kepada mereka, maka tolongkan bersidang semula,” katanya dalam sesi perbahasan. – MalaysiaGazette