Razeef Rakimin

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee yang menolak cadangan agar Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin menyifatkan kenyataan Howard itu amat sombong.

Malah, alasan ‘membunuh kesepakatan’ dan ‘khianat’ yang digunakan oleh Howard juga sangat dangkal.

Razeef berkata, saranan Ketua AMK, Akmal Nasir yang mahu mengekalkan logo tersebut ada asasnya memandangkan logo PKR pernah mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya logo yang berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Lagipun, logo ini juga ada kekuatannya yang tersendiri, selain dikenali sebagai logo yang mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat, logo ini juga dikenali di seluruh pelusuk negara ini kerana PKR satu-satunya parti yang mempunyai Cabang di kesemua 222 kawasan Parlimen seluruh Malaysia.

”Saya ingin bertanya kepada Howard jika yang demikian mengapa DAP menggunakan logo Warisan pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu? Bukankah itu lebih membunuh kesepakatan dalam PH dan jelas satu pengkhianatan kepada gabungan ini?

”Bagi saya Howard tidak perlu melenting kerana bagi AMK keputusan muktamad tetap melalui Majlis Presiden Harapan. AMK mempunyai hak mengusulkan perkara berkenaan di Kongres Nasional AMK yang akan dibincangkan di Majlis Presiden kelak.

Jika Majlis Presiden Harapan memutuskan untuk menggunakan logo PKR pada PRU-15 akan datang bagi mengulangi sejarah kejayaan PH pada PRU-14 lalu, adakah Howard akan menentang?,” soalnya.

Howard yang mengulas cadangan itu menyifatkan ia adalah tidak wajar dan menegaskan hanya logo rasmi Pakatan Harapan (PH) sahaja akan digunakan dalam PRU nanti.

“Logo pilihan Dapsy dalam menghadapi PRU yang akan datang ini adalah, tidak lain tidak bukan, logo PH.

”Kami tidak boleh terima retorik ini yang boleh memutuskan silaturahim, mencacatkan persaudaraan, dan membunuh kesepakatan antara pendukung Pakatan Harapa; dan cadangan ini adalah suatu contoh yang mengundang ke arah pecah belah,” katanya sambil mengkritik Akmal yang disifatkan tidak menghormati rakan komponen lain dalam PH.

Sementara itu barisan Ketua-Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) pula membantah sekeras-kerasnya sebarang usul untuk memecahbelahkan semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan dengan mencadangkan penggunaan logo PKR berdepan PRU-15.

Seharusnya parti-parti komponen mengambil iktibar perpecahan dalaman Pakatan Harapan berpunca daripada pengkhianatan sebahagian besar ahli-ahli parlimen daripada PPBM dan PKR yang berkomplot dalam Langkah Sheraton yang merupakan tragedi demokrasi negara Malaysia.

”Sebagaimana kesepakatan yang dipamerkan dalam persetujuan satu logo ketika PH dihalang pendaftarannya pada zaman PRU-14, begitu jugalah kesepakatan yang perlu ditonjolkan dalam menggunakan logo PH yang kini sah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM),” kata Ketua-Ketua Pemuda Lembah Pantai, Batu, Kepong, Bandar Tun Razak dan Bukit Bintang.

Jelas mereka, konsensus menggunakan logo PH memberi keyakinan kepada masyarakat umum bahawa parti-parti komponen PH terus serasi dan setia dalam cita-cita yang sama mengembalikan mandat rakyat dan membawa keluar Malaysia daripada kesan buruk penularan wabak Covid-19.

”Kami juga menggesa Ahli-Ahli Parlimen PAN, DAP dan PKR yang tidak terlibat dalam episod pengkhianatan rakyat ini kekal dalam kesatuan Pakatan Harapan dan teguh dengan prinsip untuk berjuang membela nasib rakyat daripada kebejatan kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional dan Barisan Nasional,” ujar mereka. – MalaysiaGazette