KUALA LUMPUR – Nampaknya belum ada kesedaran di kalangan orang ramai dengan pematuhan SOP yang ketat dilaksanakan pihak berkuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Setiap hari, dalam tempoh PKP penuh yang bermula 1 Jun lalu, hampir 1,000 individu sehari direkodkan telah dikenakan tindakan kompaun yang lebih tinggi, termasuk direman.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam sahaja seramai 982 individu telah ditahan kerana ingkar SOP PKP dan 933 daripada terpaksa dikenakan kompaun, manakala 49 lagi direman.
Kata beliau, kesalahan tidak memakai pelitup muka menunjukkan kes tertinggi iaitu 222 individu, diikuti gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (150 kes), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (133 kes), tiada penjarakan fizikal (125 kes).
Kesalahan lain yang dikenakan kompaun dan reman, katanya, membawa penumpang berlebihan seramai 105 individu, tidak patuh arahan kawalan pergerakan (89 kes), premis gagal patuhi arahan (23 kes) dan lain-lain kesalahan (135 kes).
“Dalam Operasi Benteng kawalan sempena negara pula, pihak berkuasa menangkap 27 pendatang asing tanpa izin dan merampas dua kenderaan darat yang digunakan untuk menyeludup masuk.
“Sebanyak 208 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan yang dilakukan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai saringan wajib pekerja warga asing, Ismail Sabri berkata, seramai 101 orang telah menjalani ujian saringan dan dua daripadanya didapati positif Covid-19.
Secara kumulatifnya, kata beliau, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, seramai 698,433 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 36,159 majikan.
“Daripada jumlah itu, 10,332 orang disahkan positif Covid-19, manakala 688,101 lagi negatif dan sehingga kini, 1,544 klinik terlibat dengan program saringan ini.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette
















