Sulaiman Md. Ali

KUALA LUMPUR – Melaka merupakan negeri pertama di negara ini memiliki makmal saringan Covid-19 sendiri.

Makmal Diagnostik Covid-19 Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) itu akan menjalankan ujian makmal RT-PCR dan RTK-Ag.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, Makmal Diagnostik itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) berkuatkuasa 1 Jun lalu untuk mengesan individu yang dijangkiti Covid-19.

“Sistem makmal ini juga turut disokong oleh sistem tracvirus dan dibenarkan untuk menjalankan dua ujian berkenaan.

“Dengan adanya makmal ini, kita berupaya menyokong aktiviti saringan yang dijalankan oleh fasiliti kesihatan KKM, seterusnya membantu mempercepatkan usaha mengawal jangkitan wabal tersebut dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Melaka kerana memiliki Makmal Diagnostik Covid-19 sendiri.

Kata beliau, makmal itu dikatakan mampu menerima sebanyak 250 sampel RT-PCR dan ujian RTK-antigen setiap hari.

Bahkan, keputusan ujian RT-PCR boleh diperoleh dalam tempoh 24 jam, manakala ujian RTK-antigen dalam tempoh kurang satu jam, selain PBM turut menawarkan perkhidmatan kaunter ujian saringan bergerak pandu lalu atau ‘on-site’.

“Inilah yang dikatakan sebagai hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika kita berkehendakkan sesuatu, kita akan menyempurnakannya dengan sedaya upaya.

“Tahniah kepada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali atas usaha yang progresif untuk menangani pandemik Covid-19 di negeri Melaka,” katanya menerusi Facebooknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast