Anggota polis mengangkat mayat pemandu kren yang ditemui mati di Flat Taman Idaman, Simpang Ampat, Pulau Pinang hari ini.

SIMPANG AMPAT – Seorang lelaki ditemui maut dengan kesan kecederaan pada rusuk kiri dan jari dalam satu kejadian di parkir Flat Taman Idaman di sini hari ini.

Mangsa berusia 45 tahun yang juga pemandu kren itu ditemui penghuni flat berkenaan dalam keadaan terbaring sebelum memaklumkannya pada pihak polis pada jam 11.45 pagi.

Mayat lelaki berusia 45 tahun itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.

MalaysiaGazette difahamkan sebelum ditemui maut, lelaki terbabit dikatakan memasuki rumah seorang balu di tingkat bawah blok D flat empat tingkat itu.

Penghuni flat berkenaan yang ingin dikenali sebagai Ram berkata, dia diberitahu oleh rakannya bahawa lelaki tersebut memasuki rumah kenalan rakannya itu.

“Berdasarkan rakan saya, mereka soal tujuan lelaki itu memasuki rumah yang didiami seorang wanita, namun tiada sebarang reaksi diberikannya sebelum dibawa naiki kereta jenis Perodua Viva untuk ke balai polis.

“Namun, saya tidak tahu apa terjadi dalam perjalanan mereka ke balai sebelum dikejutkan dengan kehadiran pihak polis pada tengah hari tadi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lelaki ditemui mati di Flat Taman Idaman, Simpang Ampat, Pulau Pinang hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, hasil siasatan saksi mendakwa melihat enam lelaki bukan penghuni flat berkenaan sedang bertengkar mulut di bawah blok D pada jam 8 pagi.

Jelas beliau, susulan itu, pada jam 10.30 pagi saksi keluar untuk membuang sampah sebelum melihat mangsa tiba-tiba meraung kesakitan ketika duduk di parkir motosikal tersebut.

“Mangsa dikatakan menjerit kesakitan sebelum terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pihak polis dan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan pegawai kesihatan Hospital Sungai Bakap mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Chong Chern berkata, hasil pemeriksaan pihak forensik mendapati ada kesan kecederaan pada rusuk kiri serta luka pagi jari tangan kiri mangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tidak nampak mangsa dipukul. Selain itu, pemeriksaan juga mendapati tiada barang dilaporkan hilang di kediaman terbabit.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan polis,” kata Chong Chern.

Difahamkan pihak polis kini sedang mencari beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kes itu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette