Rakaman video menunjukkan lelaki yang cuba memasuki kokpit Delta Air Lines ditahan oleh penumpang.

ALBUQUERQUE – – Penerbangan dari Los Angeles ke Nashville dialihkan ke New Mexico pada hari Jumaat petang selepas seorang penumpang cuba masuk ke dalam kokpit, kata Delta Air Lines.

Lelaki itu gagal dalam percubaannya untuk masuk ke dalam kokpit yang dikunci dari dalam.

Bagaimanapun, para penumpang dan anak kapal penerbangan Delta Air Lines 386 berjaya menahan lelaki tersebut.

Video yang diambil di atas kapal terbang menunjukkan seorang lelaki berkenana dikelilingi oleh penumpang dan anak kapal ketika dia berulang kali berkata: “Hentikan pesawat ini!”

Lelaki yang ditahan itu kemudian dibawa ke belakang pesawat yang bertindak mengalihkan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Albuquerque

“Pesawat itu mendarat dengan selamat dan penumpang dikeluarkan oleh polis dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

“Lelaki itu kini dalam tahanan,” kata Delta Air Lines dalam satu kenyataan.

Tidak ada yang cedera dan FBI sedang menyiasat kejadian itu. – MalaysiaGazette