KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili seluruh rakyat Malaysia merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, esok.

Berkongsi ucapan di Facebook, Muhyiddin berkata, beliau dan seluruh rakyat turut mendoakan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta kaum kerabat  Seri Paduka Baginda berdua.

“Patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan KDYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, beliau dan seluruh rakyat jelata juga berdoa mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Berdua serta semua putera, puteri dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam lingkungan dan rahmat Allah, dilanjutkan usia zaman serta berada dalam keadaan sihat walafiat selama-lamanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan menangguhkan semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi ke satu tarikh yang lain setelah mengambil kira faktor keselamatan,  kesihatan dan demi melindungi nyawa rakyat ekoran pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, perdana menteri turut menyentuh mengenai pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang sedang dilaksanakan kerajaan kini bagi melandaikan lengkung jangkitan COVID-19.

“Insya-Allah dengan segala usaha yang sedang dijalankan kerajaan dalam melawan pandemik COVID-19 ini, akan memperoleh kejayaan jua atas limpah perkenan dan naungan KDYMM Tuanku. Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya. – MalaysiaGazette