Polis serbu sebuah apartmen di Butterworth sebelum selamatkan mangsa pemerdagangan manusia.

SEBERANG PERAI – Polis menyelamatkan 10 wanita warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi seks dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Butterworth pada Jumaat lalu.

Serbuan Ops Pintas pada jam 8.55 malam yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Dearah Seberang Perai Utara (SPU) itu turut membawa kepada tangkapan dua lelaki dipercayai pekerja sindiket.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil serbuan pihak polis menyelamatkan 10 wanita berusia lingkungan 31 hingga 36 tahun yang terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Noorzainy.

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak setahun dalam kegiatan pelacuran dengan menjadikan hotel sebagai transit.

“Bagaimanapun, sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula 1 Jun lalu, kegiatan mereka agak terganggu menyebabkan mereka berpindah ke apartment ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noorzainy, hasil soal siasat mendapati dua lelaki berusia 34 dan 41 tahun yang ditahan itu berperanan sebagai penjaga dan penghantar makanan kepada semua mangsa tersebut.

“Jelas beliau, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek tersebut mempunyai rekod jenayah lampau dan salah seorang daripada mereka dikehendaki bagi satu kes penipuan di Kuala Lumpur.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kita juga sedang memburu dalang sindiket kegiatan pemerdagangan manusia itu yang dipercayai masih bebas.

Antara barang untuk kegiatan pelacuran yang dirampas polis dalam serbuan tersebut.

“Dalam serbuan itu juga, kita merampas sebuah kereta, dua buah telefon bimbit, kondom dan beberapa peralatan untuk kegiatan pelacuran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy meminta orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pelacuran dan pemerdagangan manusia melalui sistem Volunteer Smartphone Control (VSP) atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04 576 2222. – MalaysiaGazette