Dr. Mohd Radzi Jidin period menstruation checks physical Setapak school female students
Dr. Mohd Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan melaksanakan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk tempoh 25 hari pembelajaran dari 13 dan 14 Jun hingga 16 dan 17 Julai ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin berkata, pihaknya membuat keputusan itu berikutan situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan dan bagi memastikan guru serta pelajar selamat daripada jangkitan wabak itu.

Beliau berkata, sekolah di negara ini mempunyai dua kategori iaitu kumpulan A melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang mana Ahad adalah hari bekerja.

Kumpulan B pula melibatkan sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Labuan dan WP Putrajaya, yang Isnin adalah hari bekerja.

“Ada ibu bapa bertanya, bagaimana pula sesi persekolahan apabila habis cuti pertengahan penggal pada 25 Julai bagi sekolah kumpulan A dan 26 Julai untuk Kumpulan B?

“Ibu bapa jangan bimbang, pihak kami akan memaklumkan kepada mereka dan anak-anak seminggu sebelum sekolah dibuka. Makluman ini, sama ada diteruskan PdPR atau bersekolah tertakluk kepada situasi Covid-19 pada hari itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi media penyiaran dan laman Facebooknya, hari ini.

Menurut Dr. Mohd Radzi, sesi persekolahan PdPR itu yang bermula pada 13 Jun bagi Kumpulan A dan 14 Jun Kumpulan B itu turut meliputi semua sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar dengan KPM.

Kata beliau, mereka juga akan melaksanakan sesi pembelajaran menerusi PdPR di sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini dan berdasarkan takwim persekolahan masing-masing.

Mengenai Projek Rintis Peranti atau Inisiatif CERDIK, beliau berkata, antara kumpulan sasar kementerian itu ialah 150,000 murid dari golongan B40, yang akan diagihkan komputer riba serta sambungan data.

Ujarnya, status agihan peranti 5 Jun lalu ialah sebanyak 12,887 unit telah diagihkan kepada 95 sekolah dalam 51 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), diikuti 40,290 unit agihannya yang dijangka selesai selewat-lewatnya 12 Jun ini dan 96,823 unit agihan lagi dijangka selesai akhir September ini.

Mohd Radzi turut menyatakan semakan keputusan dan pendaftaran bagi permohonan rayuan sekolah khusus seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Kolej Vokasional (KV), Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).

“Bagi semua kategori sekolah ini semakan keputusan bermula 8 Jun ini, manakala pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian bagi sekolah Kumpulan A bermula 13 Jun dan sekolah Kumpulan B pada 14 Jun,” katanya. – MalaysiaGazette