KUALA LUMPUR – Syarikat pertahanan tempatan digesa mengambil peluang untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi di pentas global melalui sesi dialog antara pemain industri keselamatan dari negara luar pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA2024).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat tempatan perlu menyerlahkan bukan sahaja kehebatan teknologi bahkan komitmen terhadap kerjasama dan perkongsian dalam industri pertahanan.
“Dalam beberapa hari akan datang, kita mempunyai peluang besar untuk dialog penting antara negara, sektor pertahanan dan industri keselamatan.
“Kepada industri pertahanan tempatan kita, saya katakan kepada anda, carpe diem.
“Rebutlah peluang ini untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi kami di pentas global,” katanya berucap merasmikan DSA2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Perdana Menteri berkata, semua peserta dalam dan luar negara perlu berkongsi ilmu, bertukar teknologi dan idea baharu serta menjalinkan perkongsian dalam acara tiga hari itu.
“Saya percaya bahawa acara dan perbincangan dalam tempoh tiga hari akan datang akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif, ke arah masa depan yang terjamin untuk kita dan generasi akan datang.
“Bersama-sama kita membina dunia yang berdaya tahan dan ia bukti kekuatan yang terdapat dalam perpaduan.
“Masa depan di tangan kita. Marilah kita membentuknya dengan harapan, keazaman, dan keberanian keyakinan kita,” katanya. – MalaysiaGazette