Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung tamat tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak yang ke-18.

Namun di bawah Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, bagi tempoh darurat berkuatkuasa peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak mempunyai kesan dan ia akan ditetapkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang
di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, kata Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Isham.

Manakala Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga memperuntukkan pilihan raya Dewan Undangan Negeri bagi tempoh darurat berkuatkuasa tidak mempunyai kesan dan tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak hendaklah diadakan pada tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding
dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Menurut beliau, memandangkan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021 [P.U.(A) 7/2021] dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuatkuasa maka Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ditangguhkan. – MalaysiaGazette