Sebanyak 10 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan mulai Sabtu ini meibatkan sebahagian besarnya di Sabah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 lokaliti di dua negeri merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 yang memaksa kerajaan bertindak menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dibentangkan dalam mesyuarat harian khas hari ini, lokaliti itu melibatkan empat di Pahang dan tujuh di Sabah.

Kata beliau, antara lokaliti yang dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 8 hingga 21 Jun ini ialah tiga di Jaya Gading, Kuantan dan satu di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Ismail Sabri Yaakob

Ini katanya, diikuti tujuh di Sabah iaitu Kampung Ongkilan, Kota Marudu; dua lokaliti di Nabawan, Tuaran; Kampung Bolong Baru, Tuaran; dua perkampungan di Kota Belud; dan Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Tawau.

“Tiga lokaliti di Jaya Gading, Kuantan ialah Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai dan Bandar Baru Jaya Gading.

“KKM melaporkan terdapat peningkatan ketara kes positif Covid-19 dalam tempoh dua minggu di lokaliti ini apabila 44 kes direkodkan hasil ujian saringan ke atas 466 orang dengan kadar positif 9.4 peratus.

“Bagi Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan pula sebanyak 56 kes positif direkodkan selepas 1,900 orang disaring dengan kadar positif 1.3 peratus di lokaliti itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jelas beliau di Sabah, berlaku peningkatan ketara kes di Kampung Ongkilan, Kota Marudu apabila sebanyak 15 kes positif direkodkan hasil daripada 77 saringan, termasuk dua lokaliti di Nabawan iaitu Kampung Pulutan (11 kes), dan Kampung Murni C (20 kes).

Bagi Kampung Bolong Baru di Tuaran, 12 daripada 53 yang menjalani ujian saringan didapati positif dan dua perkampung di Kota Belud, iaitu Kampung Tamalang dan Kampung Tuguson sebanyak 12 kes, manakala Kampung Bergosong, Pulau Sebatik di Tawau merekodkan sembilan kes.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes bagi tujuan pengasingan serta melaksanakan saringan bagi kontak rapat,” katanya.

Sementara itu, tujuh lokaliti dalam daerah Kuantan, Pahang dan Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah ditamatkan pelaksanaan PKPD mulai jam 12.01 tengah malam ini.

Tujuh Mukim itu melibatkan Beserah, Kuala Kuantan 1, Kuala Kuantan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan dan Ulu Lepar.

Penamatan itu, kata Ismail Sabri, berikutan berlaku penurunan kes di beberapa lokaliti dengan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

“Begitu juga penamatan PKPD di Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah mulai tengah malam ini kerana penurunan kes dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” katanya. – MalaysiaGazette