KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah tersenarai dalam senarai universiti terbaik Asia menerusi penarafan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan
ini antara elemen yang turut melonjakkan prestij UTeM sebagai salah sebuah universiti terbaik di rantau Asia.

Jelasnya, pencapaian ini juga menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan dan usaha UTeM yang sentiasa komited membangun dan memperkasakan kualiti pendidikan modal insan dalam negara, global dan khususnya di rantau Asia.

Penarafan ini menilai universiti berdasarkan lima kriteria utama iaitu pengajaran (persekitaran pengajaran & pembelajaran), penyelidikan (penjanaan dan reputasi), sitasi dalam penerbitan, penjanaan daripada industri (pemindahan pengetahuan) dan pengantarabangsaan (pelajar, staf dan penyelidikan).

Raha berkata, UTeM merupakan antara 15 buah universiti tempatan yang berjaya tersenarai dalam penarafan tersebut dan UTeM berada pada kedudukan
401+ terbaik di Asia.

“Pada kedudukan tersebut UTeM bersama dengan  lima buah universiti tempatan lain
iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM),
Universiti Multimedia (MMU) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang juga baru
menyertai senarai penarafan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan senario semasa dunia pencapaian ini amat memberangsangkan memandangkan cabaran yang dihadapi oleh semua institusi pengajian tinggi dunia ekoran krisis pandemik.

Beliau berharap UTeM akan terus menyerlahkan momentum pencapaian ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang menerusi pendekatan inisiatif-inisiatif strategik baharu.

Pendekatannya adalah selari dengan acuan dan formula Pelan Strategik UTeM ‘Seven Strategic Goals (SSG) 2021-2025’ yang telah dilancarkan pada awal tahun ini. – MalaysiaGazette