PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

ALOR SETAR, 6 Ju- Polis menahan 14 individu termasuk seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan berkumpul bermain mahjung di sebuah rumah di Changlun dekat Kubang Pasu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Rodzi Abu Hassan berkata, serbuan pada 5 petang itu turut merampas wang tunai berjumlah RM23,000 dan pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam judi berkenaan.

“Ketika serbuan, warga emas itu sedang leka bermain mahjung bersama 13 individu lain termasuk empat wanita dengan seorang daripadanya merupakan warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Rodzi berkata warga emas berkenaan memberi alasan menyertai aktiviti di rumah rakannya itu kerana bosan duduk di rumah berikutan PKP 3.0.

Beliau berkata polis percaya rumah itu dijadikan markas perjudian sejak awal PKP 3.0 dengan kedudukan premis dilindungi pagar daripada kepingan zink dan tembok batu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kesemua 14 individu berkenaan direman hingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, katanya.