Melaka ADUN state assembly assemblymen loses majority President of UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Muhyiddin Yassin Perikatan Nasional Supreme Council meeting withdraw support PN Prime Minister
President of UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga minyak masak botol lima kilogram (kg) sebanyak RM5 sehingga melonjakkan harga barang keperluan itu sehingga RM30 disifatkan melampau.

Ia juga dilihat ada cubaan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenaikan itu bukan perkara baharu bahkan ia telah bermula sejak umat Islam menjalani ibadah puasa lagi.

“Janganlah melampau sangat. Inilah dinamakan ambil kesempatan di atas kesempitan yang semua rakyat sedang menanggungnya.

“Meningkat hampir RM5 setiap botol berbanding RM23.90 hingga RM27.90 pada Ramadan lalu.

“Pada waktu PKP 3.0 inilah mereka mahu naikkan harga. Tidak tahukah rakyat sedang susah,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, portal FreeMalaysiaToday hari ini melaporkan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyiasat kenaikan barang keperluan harian itu.

Menurut Mohd Yusof Abdul Rahman, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk menetapkan kembali harga siling bagi minyak masak botol dan dimasukkan dalam senarai harga barangan kawalan supaya rakyat tidak terus menderita.

Ahmad Zahid seterusnya menegaskan kerajaan tidak sewajarnya memberi alasan kenaikan harga minyak masak kini berpunca daripada kenaikan harga komoditi itu di pasaran dunia.

“Jangan terus menerus beri alasan kerajaan tidak kawal harga minyak masak dalam botol. Janganlah itu pun mereka sudah mula berkira-kira mahu ‘sesah’.

“Jika begitu apa peranan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban masyarakat. Minyak masak antara barangan keperluan yang penting dalam kehidupan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan agar minyak masak botol dimasukkan dalam senarai barang kawalan seperti minyak masak pek 1kg.

“Kerajaan yang bertanggungjawab akan meneliti cadangan ini demi kesejahteraan rakyat. Bukan belum apa-apa telah beri seribu alasan. Akhirnya rakyat juga ditekan kiri kanan atas dan bawah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. nk tergelak tgok kelaku puak umno ni… Depa boleh buat lupa sebelum ni depa tu kerajaan.
    Kenaikan harga minyak masak tu hgpa yg punya pasai.. Hapuskan subsidi dan harga pasaran ikut harga semasa komoditi dari thn 2017 lagi. Hari ni hgpa nk tunjuk hero plak..
    Pooraahhhh….

Comments are closed.