KUALA LUMPUR – Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis (PACSU) kesal dengan kenyataan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali yang didakwa mempersoalkan kakitangan awam polis yang bekerja dari rumah (BDR) tanpa memikirkan beban berat dipikul anggota keselamatan itu di lapangan.

Presiden PACSU, Anuar Mamat berkata, agak mengecewakan kenyataan itu didakwanya dibuat secara perbualan langsung menerusi media sosial Facebook dengan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim semalam dengan tontonan ribuan masyarakat.

Beliau yang menyifatkan  sekiranya tidak puas hati dengan kakitangan awam polis yang BDR, seseorang itu boleh membuat aduan atau menegur mengikut saluran betul.

“Sekiranya mana-mana ketua jabatan kurang berpuas hati atau ingin memberi teguran kepada kami, wajar dibuat mengikut saluran yang betul, bukan secara lansung di media sosial.

“Kenyataan beliau ini amat memalukan kerana disampaikan dengan cara dan bahasa yang beremosi, tidak terkawal. Ini mengaibkan nama pasukan polis dalam kalangan netizen.

“Dalam kalangan kami, pegawai awam ada yang berkhidmat selama sehingga hampir 40 tahun di bawah PDRM dan mungkin ada yag lebih lama lagi serta sudah sebati dalam diri kami menjalankan tugas di bawah arahan dan perintah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Anuar mengulas siaran langsung Mohd Fadzil semalam yang mempertikaikan pegawai awam PDRM bekerja di rumah, tanpa memikirkan pasukan keselamatan itu kekurangan anggota untuk bertugas di lapangan bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam perbualan itu, Ketua Polis Putrajaya itu berkata, beban dipikul anggota polis kini cukup berat, lebih lagi ramai dalam kalangan mereka telah dikuarantin kerana kontak rapat dan positif Covid-19 sehingga menyebabkan usaha untuk mendapatkan khidmat pegawai awam tidak dapat dilakukan kerana mereka BDR.

Beliau mendakwa, disebabkan arahan kerajaan supaya BDR, maka mereka terutama operator tidak dapat datang ke pejabat dan hanya perlu berada di rumah untuk bekerja.

Menurut Anuar, walaupun mereka dibenarkan BDR secara bergilir atas arahan pucuk pimpinan PDRM dan kerajaan tetapi masih lagi diatur dan diberi jadual bekerja oleh penyelia serta datang bertugas di pejabat pada bila-bila masa sekiranya menerima arahan.

Ketika ini, jelas beliau, lebih 50 peratus pegawai awam PDRM masih diarah bertugas dan berada di pejabat dan tidak dinafikan ramai lagi bertugas seperti biasa termasuk hujung minggu tanpa dibayar elaun Covid-19 sebagaimana pegawai dan anggota polis dapat.

“Kali ini total lockdown 3.0, kami diarah menjalankan BDR dan bertugas secara bergilir oleh ketua jabatan dan kerajaan. Tetapi disebabkan tanggungjawab, kami masih turun kerja seperti biasa.

“Beliau wajar menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kepada pegawai awam PDRM terutama di IPD Putrajaya,” katanya.

Menurutnya, sebagai pegawai awam PDRM, mereka diajar untuk mengikut dan mematuhi segala arahan ketua, bukan mempersoalkan tugas.

Malah, tegasnya, mereka sentiasa memberi kerjasama tidak berbelah bahagi kerana sedar tanggungjawab walaupun tidak menerima imbuhan seperti rakan beruniform walaupun sama-sama bertugas dalam satu pejabat pentadbiran.

Anuar mendakwa Mohd Fadzil tidak profesional sebagai Ketua Polis Daerah kerana gagal mengurus sumber manusia atau kakitangannya sebaliknya menyalahkan arahan BDR sedangkan 99 peratus Pegawai Khidmat Pelanggan (Operator) adalah bekerja dan ramai lagi pegawai awam yang bertugas ketika PKP waktu ini.

Katanya, Ketua Polis Daerah itu juga menggunakan saluran Facebook secara live telah mengaibkan warga PDRM dan pegawai awam tanpa memikirkan kesan negatif dan pandangan netizen terhadap golongan itu.

“Kami harap jangan ada dalam kalangan ketua atau pucuk pimpinan melenyapkan kepercayaan dan kesetiaan kami kepada PDRM kerana Ketua Polis Negara yang sangat prihatin ini juga merupakan ketua kami yang mana kesetiaan kami kepada beliau tidak pernah luntur sebagai pegawai awam PDRM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast