Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama warga emas yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin ketika di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Petugas media dijangka mula menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Rabu ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Katanya, tarikh temu janji untuk menerima vaksin akan mula diberikan hari ini.

“Ada yang akan terima temu janji hari ini, pemberian vaksin akan bermula Rabu ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Khairy berkata, jumlah keseluruhan petugas media yang bakala menerima vaksin Covid-19 belum dimuktamadkan.

Sebelum ini, beliau menegaskan, lebih 5,000 pengamal media daripada 144 agensi akan mendapat janji temu penerimaan vaksin Covid-19 bermula minggu pertama bulan depan.

Beliau telah memberikan kelulusan untuk petugas media menerima vaksin secepat mungkin.

Semalam, Kelab Media Putrajaya (KMP) menerusi kenyataan berharap Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan kerajaan dapat menyegerakan pemberian vaksin kepada petugas media.

Menurut KMP, vaksinasi segera itu bagi membolehkan petugas media terus berbakti menyalurkan maklumat serta membawa agenda kerajaan untuk negara mencapai imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini.-MalaysiaGazette