KUALA LUMPUR – THQ Esport Club akan menganjurkan kejohanan Mobile Legend Bang Bang THQ Stay At Home dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.
Kejohanan itu diadakan sebagai tanda sokongan THQ Esports Club terhadap usaha kerajaan memastikan rakyat terus kekal berada di rumah dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Pengasas dan Pengurus Pasukan THQ Esports Club, Aimanhaq Zaharudin, dengan penganjuran kejohanan secara atas talian selama dua hari itu, dapat membantu kerajaan memastikan usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 berkesan.
“Kejohanan ini turut dijayakan bersama oleh La Crista Hotel, Melaka dan PennaWrites Academy selaku penaja utama.
“Tiada yuran penyertaan dikenakan, ianya adalah kejohanan bagi menyokong usaha kerajaan untuk Stay at Home sempena PKP 3.0 yang bermula 1 hingga 14 Jun ini,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau berkata, lapan pasukan terbaik dari pusingan kelayakan akan ke pusingan playoff yang dijadualkan berlangsung pada 11 sehingga 13 Jun ini.
Kejohanan itu, kata Aimanhaq, telah merima sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 256 pasukan dan jumlah peserta yang melangkaui 1,500 orang.
Penyertaan yang dibuka awal minggu lalu terpaksa ditutup selepas sehari dibuka.
“Bagi yang tidak berpeluang menjadi peserta, boleh mengikuti kejohanan ini secara virtual di Facebook rasmi Team Haq Esports Club.
“Objekif utama THQ dan penaja adalah untuk bersama kerajaan mengajak anak muda, belia dan masyarakat untuk kekal berada di rumah dan mengisi keluangan masa dengan aktiviti yang bermanfaat.
“Bersama kita kekal di rumah untuk membantu negara mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette