SHAH ALAM – Hospital Pakar KPJ Selangor (KPJ Selangor) memulakan operasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akhir Mei lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farahiyah Badri berkata, hospital itu memberi suntikan vaksin kepada individu berisiko tinggi seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit komorbiditi dengan sasaran 200 orang setiap hari.
Katanya, pusat vaksinasi itu bertempat di premis hospital di Shah Alam dengan janji temu individu untuk vaksinasi perlu melalui aplikasi MySejahtera.
Beliau berkata, sebelum memulakan program itu, pihaknya membuat persiapan secara lebih menyeluruh bagi memastikan ianya berjalan lancar.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan ProtectHealth Corporation (Protecthealth) atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan bagi menjaya serta melancarkan program ini.
“KPJ Selangor ini telah merawat ribuan individu melibatkan petugas barisan hadapan pada Mac lalu, diikuti doktor dan pekerja kesihatan pada April dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.
“Bagaimanapun, hospital ini bukan sebagai pusat vaksinasi untuk barisan hadapan sahaja tetapi turut diberi tanggungjawab memvaksinasikan pekerja kesihatan lain dan sekarang kepada orang awam,” katanya kepada MalaysiaGazette di KPJ Selangor di sini, hari ini.
Menurut Farahiyah, pihaknya bekerja keras dalam memastikan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19 beroleh kejayaan menerusi PICK.
“Dalam pertempuran melawan Covid-19 ini, kita benar-benar perlu berusaha lebih keras melampaui batasan ke arah menjayakan usaha imunisasi nasional.
“Hari ini, contohnya, kami telah memvaksinasi seorang pesakit terlantar dari sebuah hospital, yang minta divaksinasikan di KPJ Selangor. Kita ambilnya dengan ambulan dan beri suntikan vaksin Sinovac,” katanya.
Kata beliau, pihaknya benar-benar komitmen untuk menggunakan segala kepakaran bagi mendukung usaha kerajaan termasuk memberi vaksin kepada pesakit terlantar demi menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat setempat.
Jelas Farahiyah, langkah utama diambil KPJ Selangor dalam program vaksinasi ialah mematuhi SOP yang ketat seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan amalan kebersihan.
Beliau menasihatkan orang ramai yang mendapat temu janji vaksinasi di KPJ Selangor agar mengikut janji yang diberikan melalui aplikasi MySejahtera dan tidak datang tanpa temu janji. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: