KUALA LUMPUR – Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak (COSS) atau minyak masak bersubsidi dilaksanakan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi tujuan itu Kementerian Kewangan telah memperuntuk sebanyak RM600 juta pada tahun ini berbanding RM528 juta tahun lalu bagi menjayakan program berkenaan.
Melalui mekanisme itu, minyak masak bersubsidi terbuka kepada semua golongan dengan harga berpatutan.
“Subsidi ini diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik yang sangat munasabah iaitu RM2.50 sepeket walaupun harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia meningkat pada masa ini.
“Kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik sebulan atau 720,000 tan metrik setahun bersamaan dengan 60 juta polibeg sebulan atau 720 juta polibeg setahun untuk kegunaan seluruh rakyat semua peringkat di seluruh negara.
“Kuantiti tersebut berdasarkan kadar penggunaan 1.8kg seorang setiap bulan (22.0kg seorang setahun),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, tambah Alexander, kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol.
Malah ada di antaranya dikeluarkan dari kilang yang sama, jelasnya.
Justeru katanya, minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi di mana harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia.
Alexander memberitahu, orang ramai boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg seberat satu kilogram atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin.
Menurut Ahli Parlimen Kapit itu lagi, pada masa ini, harga CPO di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4500 tan metrik berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2500 tan metrik sahaja bersamaan lebih kurang RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.
“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk 5kg dan ia tidak termasuk kos-kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit.
“KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna dan hasilnya akan dimaklumkan kelak,” ujarnya.
Tegas beliau, pasukan penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari untuk mengelak berlakunya ketirisan.
Kementerian, katanya, tidak akan teragak-agak untk mengambil tindakan di bawah AKHAP 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak dan sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi.
“KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada Kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah.
“Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) adalah salah satu contoh pelaksanaan kawalan harga di setiap musim perayaan di mana KPDNHEP menjangka permintaan akan meningkat dan peningkatan itu akan menekan harga barangan seperti yang biasa berlaku dalam ekonomi pasaran bebas,” kata Alexander.-MalaysiaGazette