Sebuah premis perjudian yang diserbu menerusi Op Dadu di Ampang Jaya semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 14 individu termasuk tujuh wanita dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian menerusi dua serbuan berasingan di Ampang Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Esha berkata, serbuan Op Dadu itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Cawangan D7 JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Hasil serbuan pertama di sebuah rumah kedai di D’Pandan Business Square, kita berjaya menangkap dua pekerja warga Bangladesh bersama seorang wanita warga Indonesia serta lima pelanggan yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan masing-masing seorang warga Indonesia dan Bangladesh.

“Sebanyak 10 buah komputer riba turut dirampas bersama beberapa peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

“Manakala serbuan kedua di Taman Bukit Teratai, seramai enam wanita warga Vietnam berumur antara 35 hingga 40 tahun berjaya ditahan dengan sejumlah wang tunai dan 52 keping daun terup yang digunakan untuk aktiviti judi jenis ngau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Farouk, kesemua tangkapan kini di tahan reman selama empat hari sehingga 11 Jun ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Peratuan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas lanjut, Mohamed Farouk berkata, orang ramai dinasihati supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan perjudian kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang boleh dikenakan terhadap penganjur serta pelanggan yang berada di dalam premis berkenaan.

Polis Ampang Jaya juga ingin menyeru kepada orang awam untuk membantu menyalurkan sebarang maklumat perjudian haram yang wujud di kawasan masing-masing di talian Hotline IPD Ampang Jaya 03-4289 7222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette