Pastor, Jee Jong Hoon, 55 didakwa mencabul dituduh dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Petaling Jaya. Foto HAFIZ SOHAIMI, 08 JUN 2021.

PETALING JAYA – Seorang paderi warga Korea Selatan yang didakwa mencabul kehormatan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) diberi jaminan sebanyak RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini sementara menunggu pelantikan jurubahasa isyarat antarabangsa.

Tertuduh Jee Jong Hoon, 54, yang juga seorang OKU bisu dan pekak berdepan dengan pertuduhan keempat di mahkamah hari ini, selepas tiga pertuduhan lain telah dibacakan di Mahkamah Majistret Butterworth pada Disember tahun lalu.

Jaminan itu diberikan kepada tertuduh kerana kertas pertuduhan tidak dapat dibacakan berikutan ketiadaan jurubahasa isyarat antarabangsa yang bertauliah.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menetapkan 27 Julai 2021 bagi tarikh sebutan semula lantikan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan yang diperoleh, Jong Hoon didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 28 tahun di sebuah gereja lima tahun lalu.

Jong-hoon didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta sekitar jam 6.30 petang pada Julai 2016.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dari mana-mana seksaan itu jika disabitkan kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat dan tertuduh diwakili peguambela M.Thanakumaran.

Thanakumaran kemudian mencadangkan mahkamah menetapkan satu tarikh untuk mendapatkan pakar penterjemah atau jurubahasa bahasa isyarat antarabangsa yang bertauliah dan meminta jaminan yang ringan ditawarkan kepada tertuduh.

Dalam rayuannya untuk tertuduh, Thanakumaran berkata, anak guamnya berusia 55 tahun itu sudah berumahtangga dan mempunyai dua orang anak.

Tertuduh bekerja di Persatuan Pekak Manmin dengan gaji bulanan RM3,000 sahaja dan mempunyai penyakit darah tinggi.

Tambah peguambela itu, Jong Hoon pernah dibenarkan jamin RM5,000 di Mahkamah Majistret Butterworth 18 Disember 2020 atas kes sama yang dituduh di bawah Seksyen sama iaitu Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Malah, pasport antarabangsa tertuduh sudah diserahkan kepada mahkamah di Butterworth sewaktu pendakwaan Disember lalu dan ia disahkan mahkamah berkenaan menerusi sepucuk surat rasmi pemakluman kepada Jabatan Imigresen Malaysia mengenai penahahan pasportnya di mahkamah.

Visanya yang tamat pada Mei lalu juga tidak dapat diperbaharui.

Setelah mendengar hujah berkenaan Zahfran menbenarkan tertuduh diikat dengan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi sehingga kes perbicaraan selesai.

Pada 29 Disember lalu tertuduh pernah diheret ke Mahkamah Majistret Butterworth di atas kesalahan sama di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul seorang lelaki pada 21 tahun lalu.

Jong Hoon didakwa memeluk, mencium bibir dan menggeselkan kemaluannya pada seorang lelaki berusia 40-an dengan niat mencabul kehormatannya dalam kejadian di sebuah rumah di Gelugor pada tahun 2000.

Sebelum itu, pada 24 November lalu tertuduh direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul melibatkan beberapa orang mangsa di Pulau Pinang.

Dia ditahan di sebuah gereja jam 8.30 malam 28 November 2020 selepas polis menerima laporan polis daripada salah seorang mangsa yang mendakwa dicabul mangsa.

Polis Pulau Pinang turut menerima laporan daripada beberapa mangsa lelaki yang merupakan OKU bisu dan pekak di beberapa kawasan termasuk di Seberang Perai Utara.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette