Presiden Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Imran S.N Syed Abdul Aziz menyumbang makanan kepada penduduk flat Sri Penara Bandar Permaisuri yang masih dalam keadaan PKPD, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI,08 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Para pemimpin parti politik dan masyarakat digesa supaya turun padang membantu rakyat khususnya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Presiden Sahabat Ulul Amri Malaysia, Syed Muhammad Imran S.N Syed Abdul Aziz berkata, perkara itu penting kerana banyak masalah dihadapi oleh rakyat ketika ini lebih-lebih mereka yang tinggal di kawasan yang dikenakan PKPD.

Bukan sahaja mereka tidak boleh keluar untuk bekerja malah ada dalam kalangan rakyat di kawasan terbabit hilang mata pencarian, katanya.

Beliau berkata, ketika ini, usaha berterusan membantu penduduk di kawasan PKPD banyak dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) namun bantuan yang diberikan adalah terhad.

“Walaupun kami ini tiada duit tapi kami kumpul untuk membantu rakyat. Dari segi bakul makanan..bukan sahaja di sini tapi juga di tempat lain…bakul makanan ini penting sebab keperluan asas,” katanya selepas program bantuan bakul makanan kepada penduduk di pangsapuri Penara yang dikenakan PKPD di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Muhammad Imran mendakwa, penyerahan bakul makanan seperti yang dilakukan olehnya banyak menggunakan saluran daripada parti UMNO berbanding parti-parti lain.

Sepatutnya kata beliau, usaha itu perlu digerakkan bersama-sama tanpa membiarkan UMNO bergerak sendirian membantu rakyat yang terjejas secara keseluruhan.

“Tapi jika semua bergerak melalui saluran UMNO sahaja memang agak susah satu Malaysia untuk kita kawal. Saya mohon parti-parti politik khususnya ahli Parlimen di kawasan ini kena kerap turun untuk bantu rakyat.

“Lihat situasi apa yang berlaku di tempat anda…apa yang berlaku ini berpunca daripada mereka (datangnya Covid-19) dan perlu selesaikan bersama-sama, bukan hanya NGO…NGO cari duit bukan senang,” ujarnya.

Tambah Syed Muhammad Imran, jika semua pihak berganding bahu dalam membantu permasalahan yang dihadapi oleh rakyat segala masalah dapat diselesaikan.

Tegas beliau, pemimpin sepatutnya mendengar dan bertindak selepas mendapat maklumat berkenaan rintihan rakyat, bukannya bercakaran sesama sendiri.

Bagaimanapun, jelas beliau apa yang berlaku pemimpin-pemimpin ketika ini banyak menghentam satu sama lain menggunakan laman sosial hingga akhirnya merugikan rakyat sendiri.

“Kita lihat NGO turun ke bawah tapi pemimpin bergaduh dalam media sosial, masing-masing mahu nama dalam media sosial,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Penara, Suhaimi Zahari berkata, pihaknya berterima kasih kepada NGO-NGO yang datang menghulurkan bantuan kepada penduduk di kawasan terbabit.

Katanya, sejak kawasan itu dikenakan PKPD ramai dalam kalangan penghuni di situ terjejas teruk terutamanya mereka yang bekerja sendiri.

“Setakat ini banyak NGO yang datang membantu…kalau bekalan makanan kering kita buat masa ini tiada masalah.

“Kami berharap agar PKPD ini akan tamat pada 10 haribulan ini. kami juga berharap agar selepas ini ada lagi NGO yang akan membantu kerana selepas ini akan ada lagi yang terputus pendapatan. Mereka ini memerlukan sokongan untuk meneruskan kehidupan..bukan sahaja selepas tamat PKPD. ..mereka mungkin perlukan sebulan lagi untuk dibantu,” katanya. – MalaysiaGazette