Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali meninjau situasi PKPD di Jaya Gading

KUANTAN – Seramai 20 sukarelawan khas bagi membantu pihak berkuasa memberi nasihat sambil membuat rondaan di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Jaya Gading bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua mereka terdiri daripada ahli komuniti di kawasan itu yang dipilih oleh pemimpin masyarakat.

Selain memberi nasihat, tugas utama petugas itu juga meronda dan memantau secara bergilir bersama pasukan keselamatan di khemah kawalan utama di pintu masuk Kawasan Jaya Gading.

“Mereka bukan penguat kuasa tetapi membantu penguatkuasaan, dan memapakai vest rasmi yang tertera Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Inisiatif ini menyediakan satu pasukan yang dipilih daripada ketua masyarakat yang di kawasan dikenakan PKPD ini dan mendaftarkan melalui PKOB,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang media sejurus Taklimat PKPD Jaya Gading yang turut dihadiri Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah dan Ahli Dewan Undangan Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.

Menurut Mohamad Noor, pasukan yang sama juga membantu masyarakat membeli barangan asas terutamanya kepada mereka yang dikenakan dikenakan perintah kuarantin di rumah.

“Mereka dipilih membantu masyarakat berdasarkan faktor kerana mereka lebih mahir di kawasan ini serta dapat menyalurkan bantuan aspek kebajikan sekiranya ada aktiviti bantuan di kawasan ini,” jelas Mohamad Noor.

PKPD di Jaya Gading bermula hari ini hingga 21 Jun 2021 serentak perlaksanaanya di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Dalam pada itu, Mohamad Noor melahirkan rasa syukur selepas mendapati statistik menunjukkan berlaku penurunan kes Covid-19 di daerah itu sejak beberapa hari lalu.

“Untuk dua kawasan PKPD ini (Jaya Gading dan Gebeng) pihak polis telah mengadakan mensyuarat pengaturan tugas dan bantuan agensi kerajaan dan ia melibatkan sebanyak 56 syarikat industri.

“PKPD di Jaya Gading melibatkan 9,000 penduduk dan 5, 300 kediamanan di mana mempunyai fasiliti yang cukup dan lengkap keperluan.

“Manakala di Gebeng melibatkan seluas 45 kilometer, sedikit berbeza dari yang lain kerana melibatkan kawasan perindustrian sahaja,” katanya.- MalaysiaGazette